KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Khamis membuat penampilan khas dalam satu rancangan masakan Masters of Malaysian Cuisine (MOMC) yang disiarkan pada jam 6 petang waktu tampatan.
Program berdurasi 90 minit yang disiarkan secara langsung di Youtube MOMC dan Facebook itu dihoskan bersama Jackie M, pakar pemakanan rakyat Malaysia yang menetap di Sydney, Australia dan Liam Ghani dari Stanford, Afrika Selatan.
Iklan
Iklan
Pakar masak lain MOMC termasuk 'That Rendang Lady' Zaleha Kadir Olpin, Johari Edrus, Kalidevan Murugaya (Chef Dave) dan pakar masak dari Melaka Debbie Teoh turut hadir sebagai tetamu.
Bersama dengan Chef Norman Musa dan Melissa Feij dari Belanda; Raja Permaisuri Agong berkongsi minat baginda terhadap masakan dengan menyediakan masakan makan malam istimewa barat bagi keluarga diraja pada malam tahun baharu.
Norman dan Melissa yang sedang berusaha mempromosi makanan Malaysia kepada dunia, kemudiannya menyediakan dua masakan yang diambil daripada buku resipi baginda - Opor Burung (Puyuh Berempah) dan Ikan Garaman (masak lemak ikan masin).
Sementara itu Tunku Azizah yang kelihatan ceria dengan memakai baju kurung berwarna coklat keemasan memasak ayam belanda panggang yang diisi dengan buah berangan, daging panggang, makaroni dan pai keju, kobis keju dan cendawan trufel, semua disiarkan secara langsung dari dapur Istana Negara.
Raja Permaisuri Agong yang panggilan mesranya Che Minah Sayang juga mempunyai akaun instagram, airtangan tunkuazizah dengan sejuta pengikut, satu platform bagi mempamerkan hasil tangan baginda masakan tradisional dan juga barat. - Bernama