SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selama tiga bulan lagi kepada peminjam yang layak
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan itu diambil kerana kerajaan prihatin dan menyedari terdapat peminjam PTPTN yang masih terkesan dengan pandemik Covid-19 serta belum berupaya membuat bayaran balik pinjaman.
"Peminjam PTPTN yang terkesan boleh mengemukakan permohonan melalui portal rasmi PTPTN mulai 5 Januari hingga 31 Mac 2021. Tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman bermula dari bulan permohonan pelanjutan diluluskan.
"Butiran berkenaan pelaksanaan pelanjutan penangguhan bayaran balik pinjaman ini akan diperincikan oleh PTPTN,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, kerajaan telah menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN mulai 19 Mac hingga 31 Disember tahun lalu kepada semua peminjam PTPTN berikutan pandemik Covid-19.
Noraini turut berharap pengumuman itu dapat membantu meringankan beban yang ditanggung peminjam PTPTN.
Katanya, sebarang pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi Careline PTPTN di talian 03-21933000 yang beroperasi Isnin hingga Jumaat dari 9 pagi hingga 5 petang.