SHAH ALAM - Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan keberadaan bekas Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad dalam arus politik semasa hanya sebagai bebanan lampau.
Naib Ketuanya, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Pakatan Harapan (PH) tidak boleh taksub dengan ideologi gabungan besar pembangkang ‘grand coalition’ sedangkan Dr Mahathir sendiri tidak bersedia untuk memberikan kerjasama.
"Serangan terbaru terhadap Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan beliau gagal untuk mengetepikan perbezaan politik dan masih terkandas dalam pemikiran sempit permusuhan masa lalu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, Dr Mahathir sudah tidak relevan untuk terus berada dalam arena politik dan PH perlu mara ke hadapan tanpa diganggu kelibat beliau selain kegagalan Dr Mahathir dalam mempengaruhi undi orang Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim menunjukkan beliau sudah tidak diterima rakyat kerana komposisi kerusi tersebut diwakili 75 peratus orang Melayu.
Tambah Syed Badli, parti-parti komponen PH perlu merangka strategi baru demi menjayakan objektif parti mereka.
"Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang masih mahu bersama Dr Mahathir wajar diketepikan kerana pengaruh buruk beliau boleh mencacatkan agenda PH untuk mengembalikan mandat rakyat,” ujarnya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan pembangkang membentuk gabungan semula yang dikenali sebagai 'grand coalition'.
Katanya, kerjasama itu penting dalam menghadapi PRU yang mungkin diadakan pada bila-bila masa.