PORT DICKSON - Seorang lelaki berusia 19 tahun sanggup membahayakan diri dengan memanjat dan menyorok di balkoni sebuah resort di tingkat 10 di Batu 6 di sini pada malam Khamis semata-mata bagi mengelak dari dicekup pihak berkuasa dalam operasi sempena Tahun Baru.
Bagaimanapun remaja berkenaan yang datang bersama teman wanitanya berusia 18 tahun ditemui selepas setengah jam dicari.
Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintendan Muhamad Mustafah Hussin berkata, pasangan berkenaan antara enam pasangan yang ditahan dalam operasi Bersepadu melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JHEAINS) bermula jam 1 pagi.
"Ketika pemeriksaan dilakukan, wanita itu memberitahu dia tinggal di hotel itu seorang namun selepas didesak mengaku datang bersama teman lelaki yang sudah menghilangkan diri dengan memanjat balkoni.
"Hampir setengah jam mencari, remaja lelaki itu dijumpai sedang menyorok di balkoni apartmen bersebelahan dengan memanjat balkoni berkenaan," katanya.
Menurutnya, pasangan yang sudah dua tahun bercinta itu mengaku datang dari Dengkil, Selangor ke Port Dickson untuk meraikan tahun baru.
Beliau berkata, lima daripada pasangan yang ditahan kerana berkhalwat turut dipercayai terbabit dengan dadah jenis syabu dan ganja.
"Dua unit daripada 31 apartmen yang diperiksa terpaksa dipecahkan kerana penghuninya tidak memberi kerjasama untuk membuka pintu.
"Hasil pemeriksaan didapati terdapat dua pasangan berada dalam bilik dan ruang tamu. Kita turut menjumpai tiga peket dadah dipercayai jenis syabu dan ganja yang disorok di dalam beg kecil di luar tingkap apartmen itu," katanya.
Sementara itu, Muhamad Mustafa berkata, resort yang menempatkan apartmen tiga blok itu menjadi tumpuan pasangan muda terutama pada malam tahun baru dan hari kemerdekaan kerana sewa murah dan kawasan besar bagi memudahkan melarikan diri jika ada operasi.
"Seramai 12 orang yang ditahan akan di bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson untuk siasatan dan kes tangkapan khalwat akan diserahkan kepada JHEAINS untuk tindakan lanjut," katanya.
Dalam pada itu beliau turut menasihatkan orang ramai yang datang beriadah ke Port Dickson mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.
"Kita masih belum selamat dan perlu ada sikap 'kita jaga kita' terutama di kawasan sesak dan musim cuti persekolahan," katanya.