BUKIT MERTAJAM - Mayat seorang warga emas ditemukan terbaring di dalam rumahnya dalam di Apartmen Permata, Bandar Perda di sini petang Khamis.
Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, mayat Rokiah Man, 62, ditemui sepasukan anggota bomba yang memecahkan pintu jeriji rumahnya selepas mendapat aduan daripada jiran mengenai bau kurang menyenangkan dari rumah terbabit.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, siasatan awal mendapati warga emas itu tinggal bersendirian dan kali terakhir ditemui oleh penduduk pada petang Isnin lalu.
"Jiran mangsa ada berselisih dengannya ketika wanita itu sedang menaiki tangga untuk pulang ke rumah dan menyatakan yang dia penat.
"Jirannya tidak menyangka itu perbualan terakhir mereka sebelum wanita berkenaan tidak lagi ditemui di luar rumah atau kawasan berhampiran," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.
Shafee berkata, polis percaya tiada kejadian berunsur jenayah kerana pemeriksaan pada badan mangsa didapati tiada kesan luka, calar atau lebam.
Katanya, mayat wanita itu dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.