KUALA TERENGGANU - Jalan pesisir pantai Seberang Takir dari arah pantai Teluk Ketapang ke jambatan angkat ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula hari ini hingga Ahad.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penutupan sementara sebahagian laluan tersebut adalah bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya berikutan berlaku limpahan ombak serta sampah-sarap di lokasi tersebut.
"Kerja-kerja pembersihan jalan akan segera dilakukan dan pengguna jalan raya dinasihatkan supaya mengambil jalan alternatif melalui laluan jalan Seberang Takir.
"Papan tanda amaran dan pemberitahuan telah pun dipasang dan orang ramai diminta mematuhi arahan tersebut," menurut kenyataan itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Ombak besar membadai pantai di Terengganu
Selain pantai Seberang Takir di Kuala Nerus, laluan di Teluk Lipat, Dungun iaitu jalan di simpang Sekolah Menengah Imtiaz Dungun hingga ke Jalan Kubur Sura turut ditutup kepada semua kenderaan sejauh tiga kilometer.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Dungun, Kapten (PA) Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata fenomena ombak besar dan angin kencang semalam menyebabkan laluan itu terpaksa ditutup kerana tanah runtuh akibat hakisan, timbunan pasir dan batu kecil serta terdapat insiden pokok tumbang di depan sebuah resort.
"Kon penghalang telah diletakkan di laluan tersebut dan pengguna jalan raya perlu mengikut jalan alternatif yang lain untuk ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.
"Kerja pembersihan juga sedang giat dilakukan oleh JKR serta pemantauan oleh APM dan polis agar orang ramai menjauhi kawasan tersebut demi keselamatan mereka," katanya. - Bernama