SHAH ALAM - Pemuda Umno menggesa Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Marzuki Yahya mempunyai tanggungjawab moral bagi menjaga kredibiliti kepimpinan dalam kerajaan dengan melepaskan jawatan.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pendedahan mengenai status sijil ijazah Universiti Cambridge Marzuki yang didakwa palsu dan tidak diiktiraf oleh mana-mana badan akreditasi pendidikan adalah amat memalukan negara.
"Saya tidak bermaksud seseorang itu harus berkelayakan tinggi jika ingin menjadi ahli politik namun sebagai seorang Timbalan Menteri Luar yang menjadi 'wajah' Malaysia di mata dunia, tindakan beliau yang cuba memalsukan status akademik, mempamerkan tahap integriti seorang pemimpin.
ARTIKEL BERKAITAN: Tipu ijazah: Marzuki serah kepada polis siasat
"Bagaimana seorang pemimpin yang mempertaruhkan moral dan etikanya mampu bertindak selaku perunding utama mewakili Malaysia dalam pelbagai perjanjian antarabangsa akan dihormati oleh negara luar?,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Pendedahan tersebut dilakukan oleh seorang aktivis politik, Muhsin Abdul Latheef yang membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook yang mendakwa program pengajian jarak jauh bagi kursus pentadbiran perniagaan yang diikuti Marzuki itu tidak wujud di Universiti Cambridge.
Pemilik akaun Facebook itu didapati telah memuat naik status berkenaan perkara tersebut pada 3 Februari lepas.
Berdasarkan semakan melalui soalan lazim di laman web universiti berkenaan, mendapati tiada sebarang program PJJ ditawarkan.
Susulan itu, Marzuki telah menegaskan akan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat dakwaan tersebut.
Dalam pada itu, Asyraf Wajdi turut melahirkan kekecewaan apabila beberapa pemimpin tertinggi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertahankan dan menganggap tindakan Marzuki tidaklah seburuk mencuri wang rakyat.
"Seolah-olah PPBM menghalalkan penipuan dan perbuatan memalsukan sijil akademik. Apakah ini nilai perjuangan Bersatu yang kononnya berjuang atas prinsip integriti, moral yang tinggi dan amalan tadbir urus yang baik?,” soalnya.
Justeru itu, beliau berkata, sebagai pemimpin parti yang kononnya berjuang atas prinsip integriti, Marzuki harus mengotakan apa yang diperjuangkan oleh parti.