Bot karam: SAR dalam radius lima batu nautika

Iklan
Aset-aset APMM, bomba, polis dan Jabatan Taman Laut serta nelayan-nelayan tempatan kini sedang giat melakukan SAR seorang lagi mangsa hilang.

PUTRAJAYA - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki karam di perairan Pulau Perhentian, Terengganu semalam adalah di dalam radius lima batu nautika dari lokasi kejadian.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, keadaan laut ketika ini agak mencabar dengan ketinggian ombak 4.5 hingga 5.5 meter dan kelajuan angin 60 ke 70 kilometer sejam namun SAR diteruskan melibatkan aset-aset strategik milik APMM dan agensi kerajaan yang lain.

Iklan
Iklan

"Aset-aset APMM, bomba, polis dan Jabatan Taman Laut serta nelayan-nelayan tempatan kini sedang giat melakukan SAR seorang lagi mangsa hilang iaitu Asaari Leh, yang berusia dalam lingkungan 45 tahun.

"Menurut rakan mangsa, ketika kejadian mangsa memakai jaket keselamatan bewarna oren,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Bernama hari ini melaporkan bot yang dinaiki lima nelayan itu dipercayai karam di perairan Pulau Perhentian akibat dipukul ombak, ketika keadaan laut bergelora dan hujan lebat dalam kejadian 1 tengah hari semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Besut Supt Mohd Rozak Muhammad, empat daripada lima nelayan yang dilaporkan hilang itu, ditemukan selamat pagi tadi.

Iklan

Sementara itu, Mohd Zubil menasihatkan komuniti maritim untuk menitikberatkan keselamatan bot, bekalan minyak dan makanan yang mencukupi, serta memaklumkan ahli keluarga mengenai lokasi dan tempoh berada di laut.

"Perkara ini akan memberi kesan kepada kepantasan usaha mencari dan menyelamat sekiranya berlaku kemalangan dan kecemasan di laut,” katanya.

Menurutnya, amalan memakai jaket keselamatan ketika berada di laut dan menyemak ramalan cuaca sebelum turun ke laut perlu dilakukan pada setiap masa.

"Tangguhkan aktiviti ke laut jika berlaku keadaan angin kuat dan ombak besar,” katanya dan menambah, sebarang kejadian kecemasan hendaklah dilaporkan kepada pihak berkuasa menerusi talian 999, agar bantuan SAR dapat diberi dengan cepat. - Bernama