Gagal daftar Muafakat Nasional bukan satu masalah

Iklan
Mohamed Khaled dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad memotong kek sempena tahun baharu 2021 selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang di TS Hotel, Pasir Gudang pada Jumaat.

PASIR GUDANG - Kegagalan mendaftarkan nama Muafakat Nasional di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bukan satu masalah, sebaliknya perlu diteruskan sebagai wadah penyatuan Melayu dan Islam.

Naib Pesiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun tidak dapat didaftarkan, Muafakat Nasional masih wujud dan berfungsi seperti biasa.

Iklan
Iklan

"Kita memang tidak daftar dan ini bukan perkara baharu, kita pun dah menang dalam 17 pilihan raya sebelum ini. Memang dari dulu ada perbincangan sama ada nak daftar atau tidak daftar, itu soal kedua.

"Kalau Muafakat Nasional berdaftar sudah jadi satu parti politik. Ini dari awal semua sudah menyatakan, tidak ada niat nak mewujudkan (Muafakat Nasional sebagai parti politik), walau apa bentuk Muafakat Nasional, tidak akan ada yang bertanding melalui Muafakat Nasional.

Iklan

"Apabila berdaftar dan menjadi parti politik ia akan terhad. Kita tidak bergantung kepada pendaftaran," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pasir Gudang di TS Hotel pada Jumaat.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada Rabu memberitahu, Muafakat Nasional tidak dapat didaftarkan kerana nama tersebut didakwa telah digunakan pihak lain dan perlu menukar nama lain jika mahu mendaftarkannya.

Iklan

Mohamed Khaled berkata, walaupun tidak berdaftar Muafakat Nasional akan meneruskan gagasan besarnya dalam menyatukanpadukan orang Melayu termasuk melindungi kedudukan serta kepentingan Melayu dan Islam.

Namun katanya, ini tidak bermakna Muafakat Nasional tidak penting kerana merupakan satu wadah penyatuan, semua pihak boleh menyertainya termasuk Parti Amanah Negara (Amanah) atau Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Apa yang paling penting mereka perlu setuju teras politik negara ini adalah orang Melayu dan orang Melayu sebagai teras dalam masyarakat majmuk negara ini. Muafakat Nasional tidak terhad kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja.

"Sesiapa pun boleh sokong Muafakat Nasional, ini termasuk DAP tetapi mereka kena bersetuju teras politik tersebut," ujar bekas Menteri Besar Johor itu.

Terdahulu ketika berucap, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, UMNO kini ketandusan pemimpin yang berpotensi dan berbakat sejak kalah pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Sementara itu UMNO Bahagian Pulai akan mengusulkan pucuk pimpinan parti politik itu menolak sebarang kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Bahagiannya, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, hubungan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat berada pada tahap amat rapuh.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor berkata, ketika ini tiada kepercayaan yang terjalin antara mereka sama ada di peringkat pusat mahupun akar umbi.

"Kerjasama yang terjalin bersama-sama PN ketika ini adalah melibatkan kapasiti Ahli Parlimen UMNO dan bukannya parti dan ia juga hanya sehingga pilihan raya umum akan datang dilaksanakan.

"Ketika ini juga dilihat tiada sebarang kepercayaan antara UMNO dan Bersatu, bagaimana parti kecil boleh merasakan mereka abang kepada parti yang lebih besar," katanya.