WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) sekali lagi bakal menyaksikan drama politik berikutan kira-kira 140 anggota parti Republikan di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) dijangka menolak keputusan Undi Elektoral pada minggu depan apabila Kongres dijadualkan untuk mengesahkan kemenangan bakal Presiden, Joe Biden.
Langkah itu bagi menyokong Presiden Donald Trump yang masih enggan akur dengan kekalahannya yang sebelum ini turut menggesa anggota Republikan menentang proses pada Rabu depan.
Bilionair hartanah terbabit berulang kali tanpa bukti mendakwa berlaku penipuan undi pada Pilihan Raya Presiden AS 2020 walaupun majoriti tuntutan undang-undang dikemukakan kempen beliau untuk membatalkan keputusan yang berpihak kepada Biden ditolak mahkamah.
Tetapi, beberapa anggota Republikan berikrar untuk mencabar Undi Elektoral tersebut di Kongres beberapa minggu sebelum Biden mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari depan.
Difahamkan, mereka bagaimanapun memerlukan sokongan sekurang-kurangnya seorang senator untuk melancarkan bantahan tersebut.
Pada Rabu lalu, anggota Republikan di Missouri, Josh Hawley menjadi senator pertama yang dengan lantang menyatakan beliau akan mengemukakan bantahan yang mungkin akan menyebabkan kedua-dua dewan terpaksa mengundi untuk mengesahkan kemenangan Biden.
"Saya tidak dapat mengundi untuk mengesahkan keputusan Kolej Elektoral tersebut berikutan beberapa negeri terutamanya Pennsylvania gagal mematuhi undang-undang pilihan raya negeri.
"Kongres perlu menyiasat tuduhan penipuan undi tersebut untuk melindungi integriti pilihan raya kita,” katanya.
Pada awal bulan lalu, kemenangan Biden meraih 306 undi berbanding 232 diperoleh Trump telah diiktiraf Kolej Elektoral. - Agensi