PENJAGA gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias menyifatkan gelaran hatrik sebagai penjaga gol terbaik yang diraihnya dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2020 (ABK20) Virtual akan terus menyuntik motivasi untuk mengharungi musim 2021 dengan lebih gemilang.
Ini kerana musim 2020 sudah cukup memberi banyak pengajaran kepada semua pasukan dan pemain dalam tempoh menghadapi pandemik Covid-19 dan semestinya kejayaan yang diraih itu mampu memberi sinar baru untuknya beraksi lebih cemerlang pada musim depan.
Menariknya, ini merupakan gelaran kali kelima buat penjaga gol berusia 34 tahun ini selepas kali pertama memenangi kategori tersebut pada tahun 2009, 2015, 2018, 2019 dan seterusnya merekod hatrik pada 2020 untuk terus kekal mempertahankan gelaran.
"Melalui pemberian anugerah ini, saya percaya ia akan meningkatkan lagi prestasi saya pada musim depan dan musim-musim akan datang.
"Jadi saya nak ucapkan terima kasih kepada keluarga, isteri, anak-anak, ibu bapa, rakan-rakan serta rakan sepasukan, staf kejurulatihan dan juga pihak pengurusan pasukan.
"Semestinya tidak dilupakan juga Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang sentiasa di belakang saya malah yang sentiasa memberikan aura-aura positif kepada kami semua,” jelasnya.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Safawi Rasid turut tidak ketinggalan meraih trofi pada tahun ini apabila berjaya dinobatkan sebagai Pemain Tengah Terbaik buat kali kedua dan ini adalah kejayaan tahun ketiga untuknya menerusi kategori lain yang dimenangi sejak tahun 2018.
Kejayaan ini sememangnya menjadi sasaran pemain dari Terengganu itu untuk memenangi anugerah ini sekali lagi pada tahun ini sepertimana dia berjaya mengekalkan gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) buat kali kedua berturut-turut tahun lalu.
Untuk rekod, Safawi berjaya meraih gelaran Pemain Muda Harapan 2018, Pemain Tengah Terbaik 2018, Penyerang Terbaik 2019 dan Pemain Paling Popular 2019.
Pemain berusia 23 tahun ini tercalon dalam kategori Pemain Tengah Terbaik 2020 berdasarkan pendaftaran pasukan yang dikemukakan pada awal musim ini di mana dia telah didaftarkan oleh JDT sebagai pemain tengah dan bukannya penyerang seperti musim lalu.
"Terima kasih atas anugerah yang diberikan ini dan semestinya saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua keluarga dan pasukan terlibat.
"Tidak dilupa, Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang selalu memberi sokongan kepada saya dan juga buat penyokong-penyokong bola sepak Malaysia, kita berjumpa lagi pada musim 2021”, katanya.
ABK20 Virtual menyaksikan JDT mendominasi dengan kemenangan lima kategori yang dipertandingkan pada kali ini.
Selain Farizal dan Safawi, pengendali JDT, Benjamin Mora turut dinobatkan sebagai Ketua Jurulatih Terbaik dan Aidil Zafuan Abdul Radzak memenangi kategori Pertahanan Terbaik.
Juara tujuh kali CIMB Liga Super, JDT pula dinobatkan sebagai Pasukan Terbaik Liga Malaysia 2020.
Antara kategori lain, penyerang Selangor, Ifedayo Omosuyi memenangi Kasut Emas 2020 dan juga Penjaring Terbanyak CIMB Liga Super 2020 dengan 12 gol secara keseluruhan manakala penyerang Pulau Pinang, Casagrande dinobatkan Penjaring Terbanyak Liga Premier 2020.
Penyerang berbisa, Shahrel Fikri pula memenangi kategori Penyerang Terbaik dan turut dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Tempatan CIMB Liga Super.
Turut menjadi perhatian adalah pemain muda Selangor 2, Danial Asri yang meraih gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier 2020 dan terakhir sekali, penyokong Liga Malaysia lakar sejarah baharu apabila dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai 2020.