SHAH ALAM - Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang menegaskan jika berlaku sebarang penipuan dalam proses permohonan poligami di Mahkamah Syariah pihak isteri boleh melaporkan kepada penguat kuasa Jabatan Agama Islam.
Menurutnya, setiap permohonan poligami di Mahkamah Syariah, pemohon perlu tandatangan ikrar di hadapan Pendaftar Mahkamah bahawa semua maklumat yang diberikan adalah benar.
"Jika berlaku penipuan maka mereka boleh didakwa menurut seksyen 82 Enakmen Jenayah Syariah Negeri-Negeri iaitu kesalahan memberi keterangan palsu,” ujar Musa kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Katanya lagi, denda bagi kesalahan tersebut adalah berat termasuklah penjara dan denda.
"Mana-mana orang yang dengan sengaja memberi keterangan palsu pada mana-mana peringkat prosiding kehakiman, atau dengan sengaja mereka keterangan palsu bagi maksud digunakan pada mana-mana peringkat prosiding kehakiman apabila disabitkan dikenaka hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
"Dan sesiapa dengan sengaja memberi atau mereka keterangan palsu dalam mana-mana hal lain, adalah melakukan satu kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Jelas Musa, penipuan mungkin berlaku di peringkat serahan dokumen kepada isteri di mana isteri yang terima dokumen permohonan seperti Tandatangan Terima (acknowledgement).
"Selepas itu orang yang serahkan dokumen perlu ikrarkan afidavit serahan menyatakan bahawa dia telah berjaya serahkan dokumen tersebut. Mungkin ada pemohon yang tandatangan sendiri untuk bukti penerimaan atau minta org lain tandatangan penerimaan bagi pihak isteri.
"Jika penipuan berlaku di peringkat ini, pemohon atau sesiapa sahaja yang membuat angkat sumpah afidavit palsu telah menyerahkan dokumen kepada isteri boleh didakwa menurut seksyen di atas,” katanya lagi.
Berhubung penglibatan orang dalam, Musa percaya pihak Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan mengambil tindakan tegas sekiranya menerima aduan dan terbukti orang dalam terlibat dengan isu scam poligami.