WUIF lancar Quranic Valley 2021

Iklan
Hussamuddin (tengah) memberikan sumbangan kepada Tabung Quranic Valley sebagai gimik pelancaran Tabung Gerakan al-Quran untuk Quranic Valley 2021 di Studio F Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) akan mengadakan pelbagai program menerusi Quranic Valley 2021 (Lembah al-Quran) sebagai usaha mendidik masyarakat untuk mendekati, memahami dan mengamalkan al-Quran dan as-sunnah dalam kehidupan mereka.

Pengerusinya, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub berkata, menerusi Quranic Valley, WUIF akan membuat penyelidikan menghasilkan program yang bermatlamat untuk memberikan kemudahan orang ramai untuk membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran.

Iklan
Iklan

"Al-Quran menjadi operating system dalam hati dan jiwa kita. Kalau boleh, al-Quran perlu dipasak dan menjadi panduan membentuk karektor dan bentuk moral bangsa.

"Kami mengadakan pelbagai program di bawah Quranic Valley yang sedang berjalan seperti World #QuranHour, Malaysia #QuranHour, My#QuranTime, Wacana al-Quran, Tick Talk Malaysia, Tick Talk International, Moms’ Coffee Talk, Mengopi Bersama Ayah dan Majlis Ayah @Sinar Jumaat.

Iklan

"WUIF memastikan setiap aspek yang terdapat dalam ekosistem al-Quran dihasilkan melalui penyelidikan oleh pakar dan ia akan disiarkan secara digital kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tabung Gerakan al-Quran untuk Quranic Valley 2021 pada program Tick Talk yang bertemakan Your Best Year Yet! yang diadakan di Studio F, Kumpulan Karangkraf di sini pada Jumaat.

Iklan

Hussamuddin berkata, WUIF juga akan mengadakan pelbagai program baharu pada tahun ini antaranya Soul Fitness, My #HadithTime, My #TilawahTime, My #HafazanTime dan My #TajwidTime.

Menerusi Quranic Valley juga, katanya, WUIF akan membina pusat penyiaran baharu di atas sebidang tanah yang diwakafkan bernilai RM6 juta di Bangi, Selangor menjelang akhir tahun ini.

"Pembinaan bangunan baharu itu sebagai usaha untuk memacu usaha WUIF menerusi Quranic Valley,” katanya.

Menurutnya, WUIF menjangkakan pusat penyiaran berkenaan akan menghimpunkan pakar al-Quran dan sunnah untuk menghasilkan lebih banyak program berbentuk digital.

"Kami menjangkakan bangunan baharu itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti studio, kemudahan fasiliti penyuntingan dan penyiaran yang mampu memancarkan program berkenaan secara digital ke seluruh dunia,” katanya.

Hussamuddin yang juga Penerbit Sinar Harian berkata, pusat penyiaran berkenaan akan membantu operasi WUIF yang selama ini beroperasi di bangunan Kumpulan Karangkraf dan menggunakan fasiliti Karangkraf dan TV Alhijrah.

"Sebelum ini, WUIF diberikan dana oleh Karangkraf dan Sinar Harian, sekarang ia didana oleh ummah. Dengan momentum ini, kami berkeyakinan ummah akan terus menyokong usaha WUIF,” katanya.

Menurut Hussamuddin, modul pengurusan WUIF yang diuruskan secara korporat yang sudah dibentuk oleh Kumpulan Karangkraf selama enam hingga tujuh tahun akan mula bergerak sendiri pada masa akan datang.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, program Tick Talk adalah salah satu usaha untuk membantu anak muda mendekati, memahami dan mengamalkan al- Quran.

"Kebanyakan program yang dilaksanakan WUIF sebelum ini mendapat sambutan dalam kalangan mereka yang berusia. Kami berharap program ini akan dapat menarik minat anak muda untuk bersama-sama kami,” katanya.