GUA MUSANG - Masjid Razaleigh yang menyerupai Masjidil Haram Makkah bertempat di Bandar Lama di sini bakal dibuka April ini kepada umat Islam untuk menunaikan ibadat.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengakui pembukaan masjid itu sudah beberapa kali tertangguh sebelum ini berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara ini.
Menurutnya, memang merugikan jemaah jika masjid itu dibuka ketika wabak itu masih belum berakhir memandangkan ruangan jemaah tidak boleh dipenuhi orang ramai susulan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.
Beliau berkata, pembinaan masjid dengan kos RM32 juta itu mempunyai sembilan menara seperti Masjidil Haram Makkah akan dibuka kepada pelawat dari seluruh negara yang ingin melihat keindahan masjid termoden serta yang pertama di negara ini.
"Tidak ada halangan bagi mereka yang hendak melawat dan melihat lebih dekat masjid itu pada bila-bila masa namun kita akan lihat keadaan, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) disambung selepas Mac ini, mungkin pembukaan masjid ini akan ditangguhkan lagi," katanya kepada media selepas melawat masjid berkenaan di sini pada Sabtu.
Tengku Razaleigh berkata, pembinaan masjid baharu itu bagi menggantikan masjid lama yang kerap ditenggelami banjir setiap kali musim tengkujuh sehingga mengakibatkan pelbagai kerosakan peralatan.
Malah, katanya, masjid lama itu juga tidak dapat menampung jumlah jemaah yang ramai berbanding Masjid Razaleigh yang lebih besar serta lengkap dengan kemudahan termasuk bilik imam, bilal, ruang mesyuarat, dewan makan dan bilik taklimat. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Masjid Razaleigh dibuka selepas PKPP ditamatkan