Jalan Kuantan-Segamat masih ditutup untuk kerja pembaikan

Iklan
Kerja-kerja pembaikan laluan dijalankan syarikat pembinaan jalan yang dijangka siap pada Sabtu.

PEKAN - Kerja-kerja pembaikan kerosakan jalan di Kilometer (KM) 63 dan KM73 Jalan Kuantan-Segamat akibat kejadian tanah runtuh pada Jumaat kini sedang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, laluan tersebut masih ditutup kepada semua kenderaan sehingga kerja pembaikan itu selesai.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerja-kerja pembaikan laluan itu dijangka selesai pada Sabtu dan kemungkinan akan dibuka semula pada Ahad.

Dalam kejadian pada Jumaat, laluan itu terpaksa ditutup selepas berlaku tanah runtuh di dua lokasi tersebut akibat hujan lebat dan aliran air deras turun dari bukit berhampiran.

Iklan

Dalam kejadian itu, tiada kemalangan jiwa atau kenderaan terperangkap dilaporkan.

Buat sementara waktu, orang ramai dinasihatkan menggunakan jalan alternatif sementara untuk ke Segamat, Pekan dan Kuantan.

Iklan

Pengguna dari arah Segamat, laluan dilencongkan ke Jalan Leban Chondong (Muadzam Shah) untuk ke Rompin, Nenasi dan Pekan, manakala pengguna dari arah Gambang dan Kuantan, laluan dilencongkan ke Jalan Pekan-Paloh Hinai-(Bandar Pekan)-Leban Chondong (Rompin)-Muadzam Shah-Segamat.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah runtuh: KM63 dan 73 Jalan Kuantan-Segamat ditutup