SHAH ALAM - Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik memperkenalkan platform pembelajaran percuma Sophia.my sebagai inisiatif menangani masalah generasi murid cicir atau 'lost generation' akibat pandemik Covid-19.
Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, inisiatif baharu di bawah gerakan pendidikan #UntukMalaysia itu untuk menanggung beban kehilangan waktu belajar atau 'lost of learning' dalam kalangan murid.
Menurutnya, Sophia.my mengandungi lebih 13,000 pengisian pendidikan untuk dimanfaatkan bukan sahaja kepada murid, malah guru, ibu bapa serta seluruh rakyat Malaysia.
"Kepada ibu bapa dan anak-anak, manfaatkanlah Sophia.my sebagai tempat meneroka segala ilmu dan silibus yang tertinggal.
"Kepada guru-guru, Sophia.my juga ialah pusat sehenti untuk bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran (PdP). Saya juga mengalu-alukan guru-guru untuk berkongsi bahan mereka sendiri untuk dimanfaatkan oleh semua pengguna," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Maszlee berkata, situasi semasa pandemik Covid-19 di negara ini masih belum menampakkan tanda surut dalam masa terdekat.
"Sehingga semalam (Jumaat), sebanyak 23,598 kes aktif dicatatkan di seluruh negara dengan dua hari lalu kes harian tertinggi dicatatkan pada angka 2,525 kes.
"Walaupun Perdana Menteri pada ucapan malam tahun baharu menegaskan sekolah akan tetap dibuka pada 20 Januari ini, tiada petanda yang boleh menenangkan dan memberi jaminan kepada kita semua bahawa pandemik ini akan berakhir," katanya.
Beliau berkata, anak-anak kini kehilangan lebih separuh daripada 52 minggu tempoh pembelajaran yang sepatutnya mereka laksanakan pada tahun 2020 akibat penutupan sekolah disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Selain kita berdepan dengan potensi generasi murid cicir akibat Covid-19 atau terma yang lebih popular ‘lost generation’, kita juga bakal berdepan dengan kesan berganda akibat daripada generasi murid cicir ini.
"Anak yang hilang waktu belajar akan hilang motivasi dan minat untuk meneruskan pembelajaran di masa depan. Anak-anak kini terdedah kepada risiko jenayah dan penyalahgunaan bahan seperti dadah dan risiko lain yang lebih dahsyat pada masa depan," katanya.
Menurutnya, bermula dengan masalah pendidikan, kini ia mengalir laju menjadi masalah sosial, masalah ekonomi dan kelak akan menjadi masalah produktiviti buat negara.
"Namun hari ini saya percaya ini adalah peluang untuk kita semua membayangkan semula apakah bentuk pendidikan masa depan.
"Pandemik ini membuka satu ruang untuk kita semua meneliti bagaimana untuk kita bina semula sistem ini. Adakah kita mahu teruskan normal baharu walaupun ketika pandemik telah tiada? Bagaimana boleh kita capai semua ini, adakah pendidikan hanya berlaku di sekolah sahaja?" soalnya.
Justeru, Dr Maszlee berkata, Sophia.my dibangunkan untuk perkara tersebut.
Beliau berkata, rakyat Malaysia boleh mendaftar masuk ke platform itu menerusi pautan http://sophia.my serta boleh menyertai grup Telegram Komuniti Sophia untuk sistem sokongan dan penambahbaikan di https://t.me/komunitisophia.