Tragedi Jeti Triso: Siti Aishah berkeras hantar anak kembali ke madrasah

Iklan
Ibu mangsa, Munah Agon, 58, (tengah) tidak dapat menahan sebak ketika hadir di Unit Forensik Hospital Sri Aman untuk proses pengecaman mayat di sini hari ini. - Foto Bernama

SRI AMAN - Mohamad Hamzah Razali, 43, tidak menyangka sikap berkeras isterinya Siti Aishah Abdullah untuk menghantar sendiri dua orang anak mereka kembali ke madrasah pendidikan Islam di Kuching pada Jumaat menjadi petanda akhir pemergiannya.

Siti Aishah, 36, bersama lima anaknya, adalah antara sembilan yang terbunuh selepas kenderaan pacuan empat roda (4WD) yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam sungai Batang Lupar di jeti feri Triso, kira-kira 100 kilometer dari sini, semasa berada di jeti berkenaan untuk menaiki feri.

Iklan
Iklan

Mohamad Hamzah yang merupakan seorang pendakwah berkata, sudah menjadi kebiasaan bagi beliau bersama isterinya untuk mengambil dan menghantar kedua-dua anak mereka itu, Khairunnisa, 14, dan Nur Syuhada, 16, ke madrasah itu sebelum ini.

"Tapi kali ini dia (Siti Aishah) berkeras untuk bersama-sama adiknya menghantar anak-anak saya balik ke (madrasah) di Kuching dengan memandu dari rumah kami di Kapit,” katanya ketika ditemui media di Hospital Sri Aman di sini pada Sabtu.

Iklan

Mohd Hamzah berkata, kali terakhir beliau mendapat mesej daripada isterinya melalui WhatsApp selepas solat Jumaat mengatakan dia sudah dalam perjalanan ke Kuching bersama adik ipar dan ahli keluarganya yang lain dalam dua kenderaan.

"Saya mengetahui kejadian itu selepas ibu mentua saya menelefon kira-kira jam 3.19 petang mengatakan kereta (kenderaan 4WD) yang dinaiki isteri saya jatuh ke dalam sungai,” katanya yang reda dengan pemergian isteri, anak-anak dan adik ipar serta anak saudaranya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Sembilan lemas pacuan empat roda terjunam

Sementara itu, Munah Agon, 58, ibu kepada Aishah, jelas masih dalam keadaan trauma ketika ditemui Unit Forensik Hospital Sri Aman.

Beliau yang menaiki sebuah lagi kenderaan di belakang 4WD malang itu hanya mampu menjerit dari jauh melihat kenderaan dinaiki anaknya itu bergerak laju secara tiba-tiba sebelum terhumban ke sebelah kanan laluan menghala feri itu.

"Saya tidak dapat berbuat apa-apa... hanya mampu melihat kereta itu mulai tenggelam. Kemudian mereka (orang ramai) di pangkalan terjun ke sungai untuk mengeluarkan anak-anak dan cucu saya dan membawa mereka ke atas jeti,” katanya yang kehilangan dua anak perempuan dan tujuh cucu dalam kejadian itu.

Munah berkata, tujuan mereka bergerak ke Kuching adalah untuk menghantar dua orang cucu perempuannya, Nur Syuhada dan Khairunisa kembali ke madrasah yang terletak di Samariang, Kuching yang akan memulakan sesi pengajaran dalam minggu depan.

"Perkara itu dimaklumkan oleh Aishah ketika berkunjung ke rumah saya... saya berasa tidak sedap hati dan mengambil keputusan untuk turut serta ke Kuching menggunakan sebuah lagi kenderaan yang dipandu oleh anak lelaki saya,” katanya.

Menurutnya, sebelum menghampiri Pangkalan Feri Triso mereka sempat berehat sebentar di tepi jalan dan mengambil salah seorang daripada anak Siti Aishah yang dikenali sebagai Fatihah Najwa, 10, sebelum meneruskan perjalanan.

Sementara itu, Mohamad Hamzah berkata, jenazah isteri dan anak-anaknya yang terkorban dalam tragedi itu akan disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu Sri Aman. - Bernama