KOTA BHARU - UMNO tidak boleh dianggap sebagai satu parti ‘johan’ dalam perpecahan sebaliknya menjadi parti yang mengetuai dan memimpin ke arah penyatuan.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa berkata, UMNO perlu kembali kepada dasar asal yang dekat dengan naluri dan hati umat Islam terutamanya dalam menyemai semangat perjuangan.
"UMNO mesti mengetuai dan memimpin ke arah penyatuan, UMNO jangan jadi ‘champion’ dalam perpecahan. Saya sangat tidak setuju kalau kita pula yang jadi punca perpecahan.
"Nak tolak orang itu, nak tolak orang ini. Itu satu sifat sombong yang saya tidak fikir ia boleh memberi kebaikan kepada parti.
"UMNO kena keluar daripada kepompong lama, benda yang rakyat sudah tolak, tidak suka, sama ada membabitkan individu atau perbuatan kita janganlah kita bawa lagi, kita kena dengar keluhan dan suara rakyat,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.
Terdahulu, beliau hadir merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Ketereh di sini.
Annuar mengulas mengenai lima syor yang perlu dititikberatkan setiap ahli termasuk pimpinan UMNO bagi memastikan parti itu terus berada di hati rakyat.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, beliau juga berpendapat, UMNO perlu menerima prinsip tawwun dan tahaluf kerana parti itu tidak mampu bergerak sendiri.
Katanya, UMNO tidak boleh ‘bermimpi’ untuk bergerak sendiri kerana ia bukan satu keputusan yang bijak untuk meraih kemenangan.
"Kalau ada orang nak tolak UMNO supaya bergerak sendiri, saya tidak setuju. Saya juga sayang kepada parti. Tapi kalau pendapat saya salah, saya terimalah, tapi setakat ini, saya sudah buat kajian.
"Secara realitinya, UMNO tidak boleh bersendirian. UMNO perlu bekerjasama dengan konsep tawwun dan tahaluf kalau kita mahu berjaya.
"War lord itu bukan akar umbi, peringkat saya, kami ketua-ketua bahagian ini, bukan akar umbi. Kadang-kadang kita bercakap atas nama peribadi kita. Kita tidak bincang lagi dengan ahli di bawah.
"Kalu kita bawa kepada ahli di bawah sekalipun, kita kena faham kita masih minoriti. Majoriti rakyat merupakan pengundi yang bukan ahli kita. Maka yang penting bagi saya ialah kena dengar suara rakyat selain mendengar suara akar umbi,” katanya.