Sesi latihan terjunan BASE dapat kebenaran: PPj

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.

PUTRAJAYA - Sesi latihan terjunan BASE yang diadakan pada Jumaat telah mendapat kebenaran penggunaan ruang daripada pengurus bangunan terlibat serta Perbadanan Putrajaya (PPj) selaku penganjur dan pihak berkuasa tempatan.

Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat PPj, Tengku Aina Tengku Ismail Shah berkata, selain itu, pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) juga dimaklumkan serta berada di lokasi latihan sebagai pasukan teknikal dan penyelamat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, latihan pada Jumaat melibatkan lapan penerjun Kelab BASE ABABIL yang telah mengorbankan Azuan Taharudin, 49, yang merupakan penerjun terakhir daripada lima penerjun pada ketika itu.

"Kejadian berlaku sekitar jam 5.35 petang dan semua aspek keselamatan termasuk faktor cuaca telah diambil kira. Penanda arah angin telah diletakkan di atas bangunan dan kawasan pendaratan. Hasil penelitian kepada arah dan kekuatan angin menunjukkan keadaan adalah selamat untuk melakukan terjunan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Iklan

Tengku Aina berkata, semasa terjunan, payung Allahyarham Azuan terbuka dan secara tiba-tiba kelihatan hilang kawalan lalu menyebabkan beliau terlanggar cermin bangunan beberapa kali sebelum terjatuh di tempat kejadian.

"Azuan mempunyai pengalaman lebih 18 tahun dalam sukan payung terjun dan 12 tahun dalam sukan BASE serta telah melakukan 500 kali terjunan dari kapal dan lebih 300 kali terjunan BASE. Beliau banyak terlibat dalam acara terjunan di Putrajaya seperti Terjunan Kibaran Jalur Gemilang ke-62, Terjunan Jubli Perak 25 tahun Putrajaya, Putrajaya International Hot Air Balloon dan Putrajaya BASE Jump 2020," katanya.

Iklan

PPj mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham.

ARTIKEL BERKAITAN: Peserta terjun tapak maut di Putrajaya

Tengku Aina berkata, latihan terjunan BASE yang dijadualkan pada 1 hingga 3 Januari merupakan persiapan pasukan dalam acara Putrajaya BASE Jump 2021 (PBJ2021) sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang bakal diadakan pada 1 Februari. Ia merupakan acara tahunan PPj yang julung kali diadakan pada tahun lalu.

Sukan terjunan BASE (terjunan dari objek tidak bergerak) adalah sukan ekstrem dengan lompatan pada ketinggian tertentu. - Bernama