Mangsa banjir perlu akur jika diarah pindah

Iklan
Hasni melawat mangsa banjir yang dipindahkan ke PPS di SK Batu 10, Skudai, Johor Bahru pada Sabtu.

JOHOR BAHRU - Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad menasihatkan penduduk di kawasan terlibat banjir supaya akur dengan nasihat pihak berkuasa untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Jelas beliau, langkah itu bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dan mereka juga tidak perlu bimbang dengan keadaan di rumah.

Iklan
Iklan

"Kerajaan sedar ada segelintir daripada penduduk yang enggan berpindah ke PPS kerana bimbang tentang kediaman dan harta benda yang ditinggalkan.

"Dalam keadaan hujan yang berterusan, berkemungkinan keadaan banjir akan menjadi lebih buruk dan boleh mengancam nyawa," katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 10, Skudai di sini pada Sabtu.

Iklan

Hasni berkata, mereka akan lebih selamat berada di PPS kerana berdasarkan laporan cuaca hujan akan berterusan untuk sehari dua ini.

"Saya menasihatkan kepada keluarga-keluarga yang terlibat itu, utamakan keselamatan keluarga. Mangsa banjir mungkin mahu menjaga rumah dan harta benda tetapi yang lebih penting ialah nyawa mereka," katanya.

Iklan

Sementara itu, beliau meminta Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) memantau prosedur operasi standard (SOP) di PPS agar sentiasa dipatuhi.