Kisah perjuangan FPI

Iklan
Front Pembela Islam sebelum ini pernah memprotes tindakan Gabenor Jakarta pada tahun 2016, Basuki Tjahaja Purnama kerana dituduh mengaibkan kitab suci al-Quran. - AFP

JAKARTA - Pertubuhan yang memperjuangkan undang-undang syariah iaitu Front Pembela Islam (FPI) yang ditubuhkan lewat tahun 1990-an diharamkan daripada menjalankan aktivitinya di Indonesia iaitu negara paling ramai penduduk Islam di dunia sejak Rabu lalu.

Sebelum ini, FPI ditubuhkan pada Ogos 1998 selepas Suharto meletakkan jawatan sebagai Presiden selepas memerintah kira-kira tiga dekad ekoran tunjuk perasaan rakyat berikutan krisis ekonomi dan politik pada bulan Mei tahun yang sama.

Iklan
Iklan

Menurut portal Warta Ekonomi, ia ditubuhkan di Pondok Pesantren Al Um, Kampung Utan, Ciputat, Selatan Jakarta oleh ulama-ulama, habib-habib iaitu jalur keturunan dari Nabi Muhammad SAW dan para aktivis Islam selepas perbincangan mengenai maksiat yang berlaku ketika era reformasi di Indonesia.

Sebelum pengharamannya oleh pemerintah Indonesia, FPI dipimpin oleh ulama Al-Habib Muhammad Riziq Husain Shihab Ba’lawi atau lebih dikenali sebagai Rizieq Shihab yang juga antara pengasasnya dan berumur 55 tahun.

Iklan

FPI juga dikenali selepas penubuhannya kerana memperjuangkan undang-undang syariah dan mengutuk perbuatan yang bertentangan dengan Islam.

Ia mula terkenal dalam kalangan rakyat di Indonesia sejak berlakunya Peristiwa Ketapang di Jakarta pada 22 November 1998 selepas seorang remaja Muslim Betawi didakwa dibunuh oleh warga keturunan Ambon Kristian, masjid dirosakkan, puluhan gereja dibakar dan mengakibatkan 15 orang terbunuh.

Iklan

Serbuan

Anggota-anggota FPI itu juga dikenali kerana pernah melakukan serbuan di kelab-kelab malam, bar-bar, pejabat Playboy dan restoran terutamanya pada bulan Ramadan.

Pada tahun 2016, anggota-anggotanya telah pergi ke beberapa buah pusat beli-belah untuk memeriksa sama ada para pekerja diarahkan memakai pakaian untuk meraikan Krismas seperti topi Santa Claus.

Berikutan tindakan tegas FPI, menurut portal berita Tribunnews, banyak pihak melontarkan kecaman, kritikan dan membuat ugutan terhadap pertubuhan tersebut.

Malah, menurut portal berita detiknews, bekas Presiden Indonesia keempat, Abdurrahman Wahid juga pernah meminta FPI dibubarkan ketika negara itu diperintah oleh Presiden keenam Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono.

Rizieq Shihab (tengah) menjadi ikon terkenal di Indonesia baru-baru ini. - AFP

Ketika itu, Abdurrahman yang juga dikenali sebagai Gus Dur kesal dengan tindak tanduk FPI dalam rusuhan di Monumen Kebangsaan atau dikenali sebagai Monas di Jakarta pada 1 Jun 2008 apabila mereka menyerang para aktivis Aliansi Kebangsaan Untuk Kebangsaan Beragama dan Berkeyakinan (AKK-BB).

Dalam kejadian itu, aktivis-aktivis AKK-BB memasuki Monas bagi meraikan ideologi Pancasila kali ke-63 yang didakwa tidak mendapat keizinan daripada polis dan ada dalam kalangan mereka mengeluarkan perkataan"Laskar Setan” di kawasan tersebut.

Perbalahan kemudian berlaku antara kedua-dua pihak dengan anggota AKK-BB mengeluarkan senjata api dan menembaknya ke udara sebanyak satu kali menyebabkan anggota-anggota FPI berusaha mencegah namun empat das tembakan dilepaskan ke udara.

Ketika pemerintahan Susilo, beliau tidak mengarahkan FPI dibubarkan.

Rizieq Shihab juga merupakan antara tokoh utama dalam perhimpunan besar-besaran yang dihadiri ratusan ribu orang pada tahun 2016 di Jakarta bagi menentang Gabenor Jakarta ketika itu, Basuki Tjahaja Purnama kerana dituduh mengaibkan kitab suci al-Quran.

Basuki yang beragama Kristian kemudian dihukum penjara dua tahun selepas didapati bersalah kerana menghina Islam.

Dihukum penjara

Pada tahun 2003, Rizieq Shihab yang pernah belajar di Arab Saudi dan pengajian doktor falsafah di sebuah universiti di Malaysia pernah dihukum penjara tujuh bulan pada tahun 2003 kerana FPI didapati bersalah menyerbu kelab malam dan melakukan perbuatan vandalisme.

Beliau juga pernah dipenjarakan selama 18 bulan selepas didapati bersalah menghasut anggota-anggota FPI supaya menyerang para penunjuk perasaan daripada kumpulan AKK-BB pada tahun 2008.

Namun, pengharaman itu berlaku selepas Rizieq Shihab kembali pulang ke Indonesia dari Arab Saudi pada 10 November tahun lalu.

Beliau disambut oleh puluhan ribu penyokongnya yang menyebabkan beberapa penerbangan di sebuah lapangan terbang di Jakarta terpaksa ditangguhkan atau dibatalkan dan lebuh raya menjadi sesak.

Rizieq Shihab menjadi tokoh politik yang berpengaruh sejak beberapa tahun lalu sebelum ini telah meninggalkan Indonesia pada tahun 2017 selepas menghadapi dakwaan berhubung isu gambar bogel seorang rakan wanitanya ketika berbual secara online.

Perbualan itu didedahkan oleh sebuah laman web.

Bagaimanapun, pada tahun 2018, kes tersebut digugurkan kerana ketiadaan bukti yang kukuh untuk didakwa di bawah undang-undang antipornografi Indonesia.

Tetapi, baru-baru ini kes berkenaan dibuka semula apabila sebuah kumpulan Perikatan Pelajar Antipornografi memfailkan satu praperbicaraan bagi mencabar keputusan itu.

Polis Metro Jakarta, menurut portal berita Coconuts Jakarta berkata, ia akan membuka semula kes tersebut selepas menerima keputusan praperbicaraan itu.

Jakarta merupakan ibu kota Indonesia yang turut menempatkan banyak pusat pelancongan dan pusat hiburan. - AFP

Keputusan pengharaman itu juga dibuat oleh pemerintah Indonesia selepas enam anggota FPI ditembak mati oleh polis di Jakarta dan Rizieq Shihab ditangkap.

Enam anggota itu ditembak mati selepas mereka menyerang sebuah kereta polis yang mengikuti sebuah lagi kereta yang dipercayai membawa para penyokong ulama tersebut di sebuah lebuh raya.

Rizieq Shihab menjadi suspek dalam kes melanggar protokol Covid-19 berhubung perhimpunan para penyokongnya di rumah beliau di Petamburan, Jawa Tengah dan di sekolah berasrama Islamnya di Megamendung, Bogor, Jawa Barat pada November tahun lalu.

Menteri Penyelarasan Politik, Undang-Undang dan Hal Ehwal Keselamatan, Mahfud MD ketika mengumumkan pengharaman itu berkata bahawa keputusan tersebut dibuat kerana FPI tidak mempunyai asas undang-undang untuk beroperasi sebagai sebuah pertubuhan awam.

Menurut akhbar Jakarta Post, Mahfud dilaporkan berkata, FPI didapati gagal untuk mengemukakan perlanjutan permit pendaftaran pertubuhan dengan Kementerian Dalam Negeri pada Jun 2019.

Justeru, berdasarkan kenyataan itu, pengharaman tersebut hanya mempunyai kaitan dengan undang-undang pendaftaran pertubuhan dan bukan disebabkan tindak tanduk kumpulan tersebut di Indonesia yang mempunyai kira-kira lebih 200 juta penduduk Islam.

Bagaimanapun, Pengerusi FPI, Ahmad Shabri Lubis mengumumkan baru-baru ini, selepas pengharaman itu, pertubuhan baharu dikenali sebagai Front Perjuangan Islam ditubuhkan bagi menggantikannya.