PEMBONGKARAN kartel daging haram susulan serbuan bersepadu ke atas sebuah gudang di Senai, Johor pada awal Disember lalu turut membuka mata masyarakat mengenai pentingnya peranan agensi penguat kuasa seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).
Sebenarnya, Cerita tentang pemalsuan logo halal produk daging sejuk beku itu sudah dipantau pihak Maqis susulan maklumat di media sosial sejak sebelum aduan rasmi yang lebih meyakinkan diterima pada September lalu.
Sungguhpun begitu, Maqis yang ditubuhkan pada 2013 bagi memastikan produk pertanian yang dibawa masuk ke Malaysia selamat digunakan masih mempunyai beberapa kekangan disebabkan kuasanya hanya terhad di 57 pintu masuk negara.
Dalam temu bual Sinar Ahad bersama Ketua Pengarah Maqis, Saiful Yazan Alwi minggu ini, beliau menjelaskan tentang taktik penyeludupan produk pertanian ke negara ini selain menjawab persepsi kononnya ada anggota penguat kuasa yang bersekongkol dengan penyeludup.
Ikuti wawancara bersama Saiful Yazan yang dikendalikan Ketua Meja Jenayah dan Mahkamah, Izwan Rozlin dan wartawan Muhammad Afham Ramli di Ibu Pejabat Maqis di Putrajaya baru-baru ini.
SINAR AHAD: Boleh tuan jelaskan latar belakang Maqis?
SAIFUL YAZAN: Maqis ditubuhkan pada tahun 2013 bertujuan memastikan barangan pertanian yang dibawa masuk ke Malaysia selamat digunakan oleh rakyat selain bebas daripada penyakit dan perosak. Penubuhan Maqis dicadangkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ketika itu Menteri Pertanian dan Asas Tani selepas beliau melawat Australia pada tahun 2008.
Di negara itu, ada Aqis iaitu Perkhidmatan Pemeriksaan dan Kuarantin Australia yang pada pandangan beliau mengapa di Malaysia tidak boleh buat jabatan seperti itu yang lebih efisien dan dapat melakukan pemeriksaan dan mengambil tindakan dengan lebih cepat.
Sebelum wujudnya Maqis, kawalan di pintu masuk negara untuk barangan seperti daging, ayam, ikan dan sayuran dilakukan oleh jabatan berkaitan seperti Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Maqis sentiasa berhubung rapat dengan agensi berkaitan.
Susulan laporan eksklusif Sinar Harian mengenai kegiatan kartel daging beku import di Johor, sejauh manakah peranan Maqis dalam menangani kes sedemikian?
Cerita tentang kes di Johor sebenarnya kita telah pantau selepas terdapat beberapa dakwaan di media sosial berkenaan isu terbabit pada tahun 2019. Kita ambil maklumat itu pada bulan Mei dan pada Jun tahun itu kita berjaya menahan beberapa individu.
Kemudian, pada bulan September lalu, kita telah terima satu aduan rasmi yang solid. Maksudnya info itu tepat, banyak persamaan dan selari dengan risikan kita. Bila kita dapati maklumat itu sama, ia membuktikan dakwaan itu tepat.
Pasukan risikan Maqis kemudian dihantar ke Johor untuk membuat tinjauan. Akhirnya setelah mendapati berlakunya masalah daging tidak sah ini, pada 1 Disember lalu kita buat serbuan.
Kebetulan kira-kira tiga minggu sebelum itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah membangkitkan isu terbabit secara agresif di media sosial.
Namun, masalah besar di Maqis adalah Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) di mana kita mempunyai kuasa di pintu masuk dan juga di stesen kuarantin dan premis kuarantin sahaja.
Apabila barangan itu telah lepas dari had kawasan kita, Maqis sudah tidak ada kuasa terhadap perkara itu. Apa yang kita boleh buat adalah bantuan daripada pasukan sahabat seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk operasi secara bersepadu.
Peranan Maqis semasa serbuan itu adalah melihat permit import sama ada palsu atau sah.
Tugas Maqis hanya di pintu masuk negara. Contohnya, apabila masuk di pelabuhan, pengimport akan ikrar kepada JKDM melalui borang K1. Sekiranya barang yang diikrar adalah barang pertanian, ia akan membawa kepada pemeriksaan Maqis. Di situ kita akan lakukan pemeriksaan dokumen dan secara fizikal, itu tugas kami di pintu masuk.
Sejak pembongkaran kartel daging di Senai, Johor, adakah terdapat rangkaian sindiket lain yang menukar taktik kegiatan mereka?
Apa yang saya boleh katakan kegiatan kartel di Senai sudah lumpuh habis, namun, saya tidak nafikan bahawa ada sindiket lain cuba alih tindakan mereka.
Faktor permintaan yang tinggi jadi punca, apatah lagi ia tidak libatkan cukai. Aktiviti penyeludupan ini sudah berlaku ketika zaman datuk dan nenek kita lagi. Selagi ada permintaan selagi itu ada penyeludupan.
Tiada siapa yang boleh jamin penyeludupan dapat dihentikan. Adakah sempadan kita itu perlu buat tembok besar macam tembok di China? Kalau lihat sejarah, kerajaan China ketika itu juga pernah tumbang disebabkan rasuah yang diambil oleh penjaga pintu ketika itu walau tembok besar yang dibina sepatutnya menghalang pencerobohan.
Sempadan kita sangat luas. Sungai, laut apatah lagi sempadan di Sabah dan Sarawak. Masyarakat yang mempunyai maklumat boleh tampil dan salurkan kepada Maqis untuk tindakan risikan dan tangkapan.
Maqis sangat serius dalam usaha menumpaskan sindiket berkaitan. Kita hendak tangkap dan ada tindakan yang diambil. Saya juga pengguna daging, keluarga saya pun sama.
Sasaran tertinggi kami adalah apabila pengguna rasa selamat untuk menggunakan produk itu. Kalau orang rasa tidak selamat, kita gagal. Saya amat berterima kasih kepada pihak yang membantu semasa operasi di Johor seperti polis, kastam, KPDNHEP dan Jakim serta Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ). Kita perlu perkukuh kerjasama.
Maqis turut mengalu-alukan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu pengimportan daging supaya segala dakwaan berkaitan isu berkenaan dapat disiasat segera.
Apabila ada RCI yang terdiri daripada jawatankuasa bebas, ia dapat memberi pencerahan kepada rakyat berikutan tohmahan yang berlaku sekarang khasnya berhubung agensi penguatkuasaan kerajaan.
Melihat kepada kegiatan penyeludupan yang disiasat Maqis, apakah modus operandi sindiket-sindiket yang dibongkar sebelum ini?
Banyak kejayaan yang kita laksanakan sebelum ini. Sebagai contoh, tahun ini sebanyak 1,220 kes tangkapan dibuat dengan nilai dagangan melebihi RM100 juta dan kita kenal pasti ada tiga modus operandi.
Pertama, pemalsuan dokumen. Saya ada satu kes di mana daging itu dibawa masuk dari New Zealand di mana sijil kesihatan yang ditunjukkan adalah seakan-akan tulen. Tapi bila kita periksa kuantiti daging yang dibawa itu besar dan di situ agak meragukan.
Pegawai kita telah membuat semakan dengan agensi berkaitan di New Zealand sebelum mengesahkan sijil itu palsu. Ini terbongkar kerana sijil yang dikeluarkan oleh negara terbabit ada ciri-ciri keselamatan yang sukar dipalsukan.
Kedua, ada kes juga di mana pengeksport menjadikan pelabuhan negara kita sebagai transit sebelum mengedarkan barangan kepada ejen terbabit seterusnya dibawa masuk ke negara ini. Di sini, bila transit, mereka tidak perlukan borang K1, mereka reka sijil halal dan menyebabkan daging itu terlepas.
Disebabkan itu, dengan cadangan pindaan akta Maqis, kita sedang dalam proses untuk mendaftarkan setiap ejen di pelabuhan. Jadi, selepas ini ejen yang berdaftar sahaja dibenarkan beroperasi di bawah pemantauan kita.
Modus operandi seterusnya adalah mengambil daging di Singapura di mana warga kita akan masuk ke negara itu dengan menaiki kereta kononnya sebagai pelancong. Bila sampai di sana, mereka singgah di premis daging untuk mengambil bekalan daging dalam jumlah muatan sekitar 60 kilogram (kg) hingga 70 kg.
Ini terbukti apabila ada penahanan dibuat ketika pemeriksaan di pintu masuk di Johor. Daging ini ada sijil kesihatan ketika masuk ke Singapura tetapi tiada sijil halal kerana Singapura tidak mewajibkan keperluan halal untuk aktiviti import daging mereka.
Apakah pengajaran daripada pembongkaran isu kartel daging ini?
Pendedahan ini bukan hendak menakutkan rakyat. Tujuan kita tangkap ini adalah hendak beritahu bahawa kita lindungi makanan. Kalau terlepas, kita akan tangkap dengan bantuan agensi lain. Bekalan daging yang masuk ke dalam negara secara sah dan mengikut peraturan dan halal adalah sebanyak 99 peratus selamat untuk dimakan. Apa yang kita tahan itu adalah hanya 1 peratus dan sindiket itu pula telah pun lumpuh.
Hari ini, saya lihat ada beberapa pengimport dan juga pengeluar produk daging telah tampil membuat kenyataan berhubung kesahihan produk mereka. Kesedaran rakyat kita terhadap isu ini sangat tinggi dan perlu kekal begitu. Alhamdulillah, apa yang berlaku di Senai, Johor merupakan satu pengalaman positif yang kami dapat.
Saya faham masyarakat pasti bertanya bila dalang gudang di Senai itu akan didakwa. Apa yang boleh dijelaskan adalah pihak timbalan pendakwa raya perlu meneliti kes terlebih dahulu untuk memastikan dakwaan yang dibuat akan membawa kepada kejayaan pendakwaan, dan itu pasti mengambil sedikit masa. Ini penting bagi memastikan suspek dapat dituduh dan dihukum sewajarnya.
Sejauh manakah dakwaan bahawa tiada pemeriksaan ke atas daging babi yang dibawa masuk ke dalam negara?
Dakwaan mengatakan kita tidak periksa walaupun itu daging babi adalah tidak benar. Kita tetap periksa walaupun ia daging babi dan 100 peratus kita semak dan buka setiap kontena yang masuk ke dalam negara. Mungkin ada yang mendakwa bahawa daging wagyu diletakkan sekali dengan daging babi semasa proses import.
Bagi saya itu tidak benar, mungkin dakwaan itu timbul disebabkan wujud wagyu yang dijual pada harga murah, yang murah itu mungkin daging biasa.Mungkin ada peniaga dakwa daging biasa itu adalah wagyu hingga menyebabkan pengguna tertipu. Ia hanya mungkin taktik perniagaan.
Apakah ada usul supaya peranan Maqis ditambah baik dan ditingkatkan?
Ya memang ada. Semasa Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada tahun 2019 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Maqis telah membentangkan isu penyeludupan kelapa di Batu Pahat, Johor.
Bila kita bentangkan, kita beritahu masalah sama iaitu berlakunya aktiviti itu di luar pintu masuk dan kita tidak boleh ambil tindakan disebabkan had kuasa yang terhad.
Selepas itu, kita buat 13 pindaan besar termasuk peluasan kuasa Maqis di luar pintu masuk. Sekarang, kementerian sudah meluluskan pindaan tersebut dan telah diangkat ke Jabatan Peguam Negara untuk kelulusan perundangan dan kemudian dibentang di Parlimen.
Pindaan kuasa Maqis ini membolehkan kami membuat operasi tanpa perlu membebankan rakan agensi lain. Misalnya, KPDNHEP ada banyak lagi tugasan lain seperti barang tiruan, bekalan minyak dan pemantauan harga barang. Bila kami boleh buat operasi kelak, kita boleh kurangkan beban mereka.
Pindaan ini membolehkan kami cari siapa dalang terlibat biarpun mereka sudah terlepas dari pelabuhan. Tapi sekarang, sukar kerana had kuasa pada kami.
Jumlah keanggotaan Maqis hari ini adakah ia mencukupi? Bagaimana dengan cadangan penambahan keanggotaan?
Saya ucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan agensi pusat seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Kewangan dan Ketua Setiausaha Negara kerana memandang berat isu ini.
Kami telah diluluskan 82 perjawatan baharu selain peruntukan berjumlah RM128 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.
Dalam keadaan pandemik Covid-19 dengan kekangan bajet, kami masih dapat tambahan jawatan dan peruntukan. Ia sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada saya dengan jumlah keanggotaan sekarang seramai 463 orang bagi menjaga 57 pintu masuk.
Kita ada pintu masuk yang besar dan memerlukan ramai orang contohnya Pelabuhan Klang, Tanjung Pelepas, Pasir Gudang, dan Butterworth. Semua pelabuhan itu banyak menerima kemasukan barang.
Bukan sahaja di pelabuhan, tetapi di setiap sempadan pintu masuk telah menempatkan anggota Maqis. Malah, di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur turut menempatkan petugas Maqis.
Kita pandang serius setiap kemasukan. Kalau ada penumpang bawa makanan dalam beg itu pun kita tahan sekiranya dikesan. Contohnya tahun lepas ada penyakit berkait babi di China.
Penyakit ini tidak serang manusia, tapi industri babi di Malaysia kalau kena virus itu akan menyebabkan kerugian bernilai RM3 bilion, sebab itu kita tahan penumpang dari China ketika itu.
Tahun 2019 sahaja kita rampas tiga tan daging babi yang dibawa oleh penumpang untuk mengawal penyakit berkenaan dari masuk ke dalam negara.
Sehingga kini Malaysia satu-satunya negara di Asia Tenggara yang bebas daripada penyakit demam babi Afrika.
Selain itu, Maqis juga memantau media sosial berkenaan penjualan hidupan atau tanaman dari luar negara yang dibawa masuk ke Malaysia. Kadang-kadang mungkin isu ini dianggap remeh, tapi impaknya besar kerana ada bakteria dalam makanan biarpun sudah dimasak, ia masih boleh hidup.
Kita juga pernah tahan jualan ikan hiasan dari negara luar, kecuali ada permit. Ia perlu mematuhi syarat kesihatan yang ditetapkan jabatan bagi mengawal penyakit berkaitan ikan menggugat industri ikan hiasan negara.
ANEKDOT
Cabaran sebagai Ketua Pengarah Maqis
Saya ialah Ketua Pengarah Maqis yang ketiga. Saya dilantik sebagai Ketua Pengarah Maqis pada 1 Januari 2019. Banyak cabaran sepanjang menjawat jawatan ini. Antaranya saya perlu mendapatkan bantuan daripada ketua pengarah di jabatan lain disebabkan keanggotaan kami yang tidak mencukupi.
Contohnya, di Terminal Feri Antarabangsa Kukup di Johor, kita hanya ada seorang anggota. Bayangkan kalau anggota itu sakit, ahli keluarganya sakit hingga terpaksa ambil cuti, jadi tiada orang di situ.
Bila tiada orang, kita terpaksa mendapatkan bantuan daripada kastam yang terpaksa ambil alih seketika penugasan itu. Apatah lagi skop penugasan adalah berbeza di mana fokus Maqis adalah dari segi teknikal dalam bidang pertanian khususnya dan itu bukan bidang kepakaran kastam.
Alhamdulillah, kita telah dapat pertambahan keanggotaan selain peruntukan yang diluluskan itu akan digunakan untuk pembangunan makmal kita sendiri selain fasiliti lain.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Sinar Harian yang menyiarkan laporan pembongkaran kartel daging di Johor itu. Terima kasih juga kepada badan bukan kerajaan yang memandang serius isu ini.
Kami juga sentiasa diingatkan, khasnya oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee, untuk memastikan keselamatan makanan diberi fokus utama bagi memastikan rakyat dapat menikmati makanan yang selamat dan halal.
Pencapaian sepanjang tahun 2020
Statistik kita tahun 2020 mencatatkan sebanyak 1,220 kes dengan sitaan berjumlah RM157 juta. Sasaran kita tahun 2020 sitaan bernilai RM121 juta, tapi kita capai lebih dan ini bermaksud pegawai saya di lapangan dan pintu masuk sangat agresif dalam setiap tindakan.
Selain itu, prestasi kutipan hasil berjumlah RM84.2 juta berbanding sasaran RM82 juta.
Prestasi laporan media juga melebihi jumlah yang disasarkan dengan 348 laporan direkodkan. Saya mahu rakyat faham bahawa kita sentiasa melaksanakan tugas bagi memastikan barangan makanan daging khususnya adalah halal dan selamat.