Air pasang dijangka burukkan banjir di Johor

Iklan
Keadaan Kampung Laut di Batu 10 Skudai dari atas yang diambil di parkir kereta Tingkat 4, Skudai Parade. Foto Bernama

PASIR GUDANG - Penduduk yang tinggal di kawasan pesisir pantai atau berhampiran pantai dinasihatkan supaya berhati-hati kerana air pasang akan berlaku pada Ahad di tiga daerah sekali gus dijangka memburukkan lagi banjir di Johor.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh berkata, berdasarkan laporan Jabatan Meteorologi air pasang akan berlaku di Tanjung Sedeli, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Kukup, Pontian.

Iklan
Iklan

"Kejadian air pasang besar biasanya mengakibatkan limpahan air di kawasan daratan dan mungkin juga menyebabkan banjir di lokaliti-lokaliti yang berhampiran dengan laut.

"Johor menerima taburan hujan yang banyak sejak dua hari lalu, ini akan membahayakan lagi kawasan yang berisiko banjir. Ketika ini enam daerah di Johor sudah terjejas dengan banjir," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan 600 pek makanan kepada mangsa banjir di Kampung Plentong Baru, Masai di sini pada Ahad yang sudah dinaiki air sejak pagi Ahad.

Iklan

Berdasarkan kenyataan Jabatan Meteorologi, air pasang berlaku di Tanjung Sedili pada jam 1.43 pagi dan 11.30 pagi dengan ketinggian 261 dan 196 meter (M), Johor Bahru jam 2.23 pagi dan 1.44 petang (312 dan 321M) dan Kukup jam 1.53 pagi dan 1.23 petang (268 dan 365M).

Setakat jam 12 tengah hari pada Ahad, bilangan mangsa banjir di Johor terus bertambah melibatkan 6,248 orang daripada 1,628 keluarga.

Iklan

Che Zakaria menasihatkan mereka yang tinggal berhampiran laut supaya mengelakkan aktiviti di tepi pantai dan sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa apabila diarahkan berpindah sekiranya perlu.

Sementara itu, beliau berkata, Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas di Taman Dahlia di sini dibuka 24 jam berikutan beberapa kampung di Pasir Gudang dilanda banjir dan sudah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, mana-mana mangsa banjir atau penduduk yang terjejas boleh datang ke Pusat Khidmat DUN Permas untuk mendapatkan makanan atau sebarang bantuan yang diperlukan.

"Para petugas kita juga mengadakan rondaan setiap dua jam di kawasan-kawasan berisiko banjir atau yang sudah dilanda banjir untuk meninjau situasi dan mengetahui perkembangan mereka," katanya.

Beliau mengingatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak dan tidak membiarkan mereka bermain air banjir bagi mengelak kejadian yang tidak diingini dan bagi keluarga yang tinggal di kawasan berisiko perlu membuat persiapan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.