SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini sangat lemah dan tidak memberi sebarang kebaikan kepada masa depan negara.
Beliau berkata, sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat, ia juga tidak dapat menyelesaikan masalah kepimpinan dan kerajaan baharu dibentuk itu juga tidak akan berubah.
"Jika pun diadakan PRU15 dalam waktu terdekat dengan situasi politik sangat tidak stabil ini, Pilihan Raya Umum (PRU) itu akan menghasilkan keputusan sama seperti PRU lepas.
"Tidak ada parti yang menang besar dan mampu tubuh kerajaan baharu tanpa berkongsi kuasa dengan parti-parti lain.
"PRU itu (juga) tidak akan selesaikan masalah kepimpinan dan kerajaan yang dibentuk (akan) sama sahaja seperti yang ada hari ini," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook beliau pada Ahad.
Sehubungan itu, Mohamad Khir berpandangan negara kini memerlukan sebuah kerajaan baharu yang kuat, stabil dan inklusif sifatnya.
Beliau berkata, UMNO sebagai parti berpengalaman sudah sepatutnya memulakan usaha untuk membina jajaran baharu dengan parti-parti yang mempunyai kerusi Parlimen terbanyak.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO Pulau Pinang tolak kerjasama dengan Bersatu
Menurutnya, kesilapan UMNO dalam PN ialah membentuk kerajaan dengan parti-parti kecil bilangan kerusi Parlimen seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan kumpulan 'lompat parti'.
"Apa pun rakyat tetap menyalahkan UMNO kerana tanpa UMNO kerajaan yang sangat lemah ini tidak terbentuk.
"Hari ini, parti besar ini (UMNO) pula dalam situasi hidung sudahlah tak mancung, pipi pula yang disorong-sorong. Orang dah tak mahu, kita pula terlebih meminta.
"Maruah UMNO sudah hilang, jangan pula harga perjuangan yang bersisa ini kita gadaikan. Lebih mulia untuk UMNO membina jajaran politik baharu dari dihina dan dianggap hidung tak mancung pipi yang kita sorong.
"Walaupun kita mungkin disalah erti kerana bergabung dengan musuh tradisi tetapi kita masih punya harga diri," katanya.
Beliau berkata, sekiranya kerajaan baharu melalui pembentukan jajaran baharu itu ternyata stabil dan berjaya membawa negara keluar dari situasi sangat mendesak dan bahaya itu, tuduhan khianat perjuangan itu akan lenyap dengan sendirinya.
Malah, katanya, UMNO akan tetap dilihat bermaruah sebagai parti membela rakyat dan negara.