Polis Serdang nafi lepas tangan

Iklan
Enam sekeluarga terpaksa hidup dalam ketakutan sejak dua tahun lalu apabila diganggu sekumpulan ah long sehingga diekori dan rumah serta kereta mereka disimbah cat.

SERDANG - Polis menafikan dakwaan konon pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kes sebuah keluarga di Seri Kembangan di sini yang diganggu ah long susulan alamat rumah mereka digunakan individu lain bagi membuat pinjaman wang.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Razali Abu Samah berkata, pihaknya bagaimanapun sudah membuka siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Iklan
Iklan

"Saya mengesahkan ada laporan yang diterima daripada mangsa. Kertas siasatan kita telah buka dan siasatan sedang dijalankan," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Sabtu, Sinar Harian melaporkan mengenai enam sekeluarga yang terpaksa hidup dalam ketakutan sejak dua tahun lalu apabila diganggu sekumpulan ah long sehingga diekori dan rumah serta kereta mereka disimbah cat.

Iklan

Mangsa mendakwa, kejadian itu berlaku disebabkan pemilik asal rumah berkenaan menggunakan alamat kediaman tersebut untuk membuat pinjaman ah long.

Sementara itu, Razali berkata, pihaknya kesal kerana mangsa membuat tohmahan di laman sosial mendakwa polis tidak mengambil sebarang tindakan berhubung kejadian tersebut.

Iklan

"Sebelum ini pun, kita telah merakam keterangan mangsa dan pemilik asal rumah tersebut.

"Jadi dalam soal itu, polis menjalankan tugas dan bukan tidak mengambil sebarang tindakan seperti mana yang didakwa.

"Tak patut ditulis di media sosial mengatakan polis tak ambil sebarang tindakan. Kalau ada kemusykilan, sepatutnya datang sendiri ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Serdang, boleh jumpa saya sendiri, tak ada masalah.

"Dalam kes itu, kita langsung tak lepas tangan," katanya.

Tegasnya, perbuatan membuat tohmahan kepada polis di media sosial secara tidak langsung menjejaskan imej pihak berkuasa terbabit.

"Bila kita panggil ke IPD, mangsa tak datang. Jadi macam mana, sepatutnya bagilah kerjasama yang sebaiknya, bukan memberikan tohmahan sedemikian di media sosial," katanya.