KUANTAN - Seorang peniaga sayur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas pertuduhan menawar dan memberi suapan kepada seorang penjawat awam empat tahun lalu.
Tertuduh, Teong Tong Lai, 33, yang menjalankan perniagaan menjual sayur bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa menawarkan suapan RM10,000 kepada Penolong Timbalan Pengarah Ops Gading, Majlis Keselamatan Negara, Sanifah Yusof sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap kebun haram miliknya di Hutan Simpan Terla (A), Mukim Ulu Tenom, Cameron Highlands.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Coffee House, Hotel Heritage, Cameron Highlands kira-kira 9.30 malam, 13 Mei 2015.
Kedua-kedua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama iaitu penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Siti Sarah Zainal Abidin dan beliau memohon jaminan ditawarkan RM10,000 bagi setiap satu pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, Tong Lai yang diwakili peguamnya, Mohamad Hamizey Mat Taib dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan merayu jumlah berkenaan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai wang yang cukup kerana mempunyai tanggungan seorang isteri dan dua orang anak yang berumur dua tahun dan sembilan bulan.
Namun, Siti Sarah merayu agar memberi jumlah jaminan yang bersesuaian bagi memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak melakukan kegiatan aktiviti rasuah di negara ini.
Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib kemudiannya mengarahkan tertuduh dikenakan ikat jamin RM5,000 bagi setiap tuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Disember depan bagi tarikh serah dokumen.