Kedai laksa tular diuruskan pekerja Islam

Iklan
Mazlan (dua, kiri) memantau harga sempena Operasi dan Pemeriksaan Skim Kawalan Harga Tahun Baru Cina 2019 di sebuah pasar raya, hari ini.

SUNGAI PETANI - Kedai laksa popular yang baru dibuka di sebuah pusat beli-belah di sini yang tular dipercayai dimiliki bukan Islam, mengesahkan mempunyai 13 pekerja kesemua beragama Islam.

Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sungai Petani, Mazlan Safar berkata, hasil operasi yang dijalankan secara bersama dengan beberapa agensi termasuk Jabatan Agama Islam Kedah mendapati laksa disediakan kesemua pekerja Islam.

Iklan
Iklan

"Kita jalankan pemeriksaan ke atas beberapa premis berdasarkan aduan laman sosial yang tular termasuk sebuah kedai laksa, kedai nasi kandar dan sebuah restoran di Sungai Petani.

"Hasil pemeriksaan, kuah laksa tidak dicampur bahan tidak halal dan siasatan mendapati gambar ditularkan adalah dua gambar berbeza yang diambil dari tempat berbeza dan dicantumkan. Semakan juga mendapati pengurus kedai mempunyai Ijazah Sains Makanan juga beragama Islam,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Operasi dan Pemeriksaan Skim Kawalan Harga Tahun Baru Cina 2019 di sebuah pasar raya di sini, hari ini.

Menurutnya, pemilik sama mempunyai 22 cawangan kedai laksa seluruh negara dan tujuh daripadanya termasuk cawangan terbaharu, masih dalam proses permohonan mendapatkan sijil halal manakala selebihnya sudah mempunyai sijil halal yang sah.

Iklan

"Pemilik premis mengakui, sejak menjadi tular, hasil jualan di kedai laksa berkenaan mengalami kemerosotan lima kali ganda berbanding sebelumnya,” katanya.

Mazlan berkata, dalam operasi sama, sebuah kedai nasi kandar didapati menggunakan kalimah al-Quran yang tiada kaitan bagi menarik pelanggan Islam.

"Kesemua pekerja dan pemilik nasi kandar didapati beragama Islam kecuali seorang tukang cuci. Bagaimanapun kita sudah menasihatkan supaya kalimah al-Quran yang tiada kaitan diturunkan bagi mengelakkan kekeliruan.

"Pada masa sama, Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Muda memberi notis arahan ke atas sebuah restoran di sini supaya ditutup selama tempoh 14 hari bagi tujuan pembersihan,” katanya.

Menurutnya, antara yang terlibat dalam operasi yang dijalankan 28 Januari lalu ialah Pejabat Agama Daerah Kuala Muda dan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah.

Sementara itu, Mazlan berkata, sebanyak 282 pemeriksaan premis dijalankan membabitkan 25 kes dicatatkan sepanjang Skim Kawalan Harga Tahun Baru Cina bermula 30 Januari hingga 8 Februari 2019.

"Sembilan kes gagal meletakkan tanda harga manakala 16 kes gagal meletakkan tanda harga merah jambu ke atas 12 barang kawalan,” katanya.

Menurutnya, KPDNHEP memberi amaran keras terhadap mana-mana peniaga yang gagal mematuhi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil bagi mereka yang didapati melanggar peraturan terbabit.