PENGACARA terkenal, Jihan Muse mengakui sedang perlahan-lahan untuk bertudung selepas pulang daripada menyertai misi kemanusiaan di Palu, Indonesia, baru-baru ini.
Jihan menerusi temu bual bersama sebuah portal akhbar berbahasa Melayu memberitahu antara lain yang mendorongnya untuk berubah adalah penyanyi, Mizz Nina dan cabaran perbezaan 10 tahun.
"Sudah lama saya terdetik untuk bertudung tapi macam-macam perkara yang mengganggu fikiran hingga niat baik itu tertangguh.
"Bagaimanapun, ketika tular cabaran gambar perbezaan tempoh 10 tahun, saya mula terfikir untuk berubah," katanya.
Tambah Jihan, ketika menonton program penghijrahan Mizz Nina, secara tidak langsung ia turut membuka hatinya untuk muhasabah diri.
Kunjungan ke Palu juga antara perkara yang menggerakkan hatinya untuk bertudung.
Tambah isteri kepada pelakon, Ungku Hariz ini, buat masa ini dia tidak berani membuat kenyataan sudah bertudung sepenuhnya.
"Sekarang ini saya tidak tahu apa dugaan yang akan datang. Bagaimanapun saya lebih selesa untuk memberitahu saya mula menutup kepala. Saya harap langkah awal ini permulaan yang terbaik buat saya.
"Kalau nak cakap saya sudah menutup aurat, ia terlalu subjektif dan besar. Ini kerana, saya masih mengenakan skaf dan ia bukan cara berhijab yang betul. Apa yang boleh dikatakan, saya sedang belajar untuk menutup rambut," jelasnya.