'Setiap kali banjir, reda sajalah'

Iklan
Mangsa banjir sifatkan bencana kali ini paling buruk berbanding banjir besar yang melandaJohor pada 2006. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas di Kampung Seri Jaya Baru di Tampoi, di sini, sebak dan kehilangan kata-kata apabila hampir kesemua barangan di dalam rumahnya rosak akibat ditenggelami banjir pada Sabtu.

Salmah Selamat, 71, berkata, bencana banjir kali ini juga tidak dapat dijangka dan disifatkan sebagai paling buruk berbanding banjir besar melanda negeri ini pada tahun 2006.

Iklan
Iklan

Katanya, hujan lebat menyebabkan Sungai Perling yang hanya berada di belakang rumahnya melimpah keluar dan menyebabkan rumahnya dan penduduk lain terjejas dengan air naik sehingga tiga meter.

"Balik sahaja tengok rumah mengalir air mata saya, habis semua bilik, katil, pinggan mangkuk, baju, almari baru beli pun pecah dan hancur.

Iklan

"Hampir 40 tahun saya duduk di sini, tiap kali banjir memang sebak dan sedih.. tiada apa mampu saya lakukan lagi melainkan reda,” kata ibu kepada empat cahaya mata yang telah kematian suami pada tahun 1999 itu kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya, di sini, pada Ahad.

Menurutnya, air mula surut kira-kira jam 1 pagi Ahad dan rata-rata penduduk setempat melakukan kerja pembersihan pagi tadi, selain berharap agar cuaca baik pada hari ini dan air tidak lagi naik.

Iklan

Sementara itu, Azrinuruddin Saadon, 48, yang turut mengalami nasib sama berkata, rumah peninggalan kedua ibu bapanya itu turut dinaiki air dan banyak kerja pembersihan perlu dilakukan memandangkan air bertakung di dalam rumah.

"Kawasan kampung ini rendah, tiap kali hujan lebat memang banjir..macam rumah saya air kena timba sebab bertakung.

"Air bertakung ini pula bercampur dengan air pasang dan air longkang..kadang-kadang akan berbau. Tapi sudah lali sebab sudah lebih 30 tahun alami banjir ini sejak saya kecil lagi,” kata bapa kepada empat orang anak yang bekerja sebagai Operator Terminal di Pelabuhan Tanjung Pelepas itu.

Kampung Seri Jaya Baru merupakan antara kawasan yang terjejas teruk banjir di bandar raya ini dan tinjauan Bernama di sekitar Kampung Pasir juga mendapati, rata-rata penduduk mula mengeluarkan perabot dan membersihkan rumah masing-masing.

Johor Bahru mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan 2,452 orang diikuti Kluang dengan 1,867 orang dan Kota Tinggi seramai 1,125 mangsa. - Bernama