Empat beranak terkandas 11 jam dalam kereta akibat banjir

Iklan
Abdul Aziz Jemain, 30, isterinya Khairiyatul Asma' Kamat, 30, bersama anak mereka Anas Farhan, 2 tahun setengah dan Aysar Maisara lapan bulan. -Foto Bernama

KLUANG - Empat beranak terpaksa mengalas perut dengan sekadar makan roti dan mi siput selepas terkandas 11 jam dalam kereta apabila laluan di Batu 17 dan 18, Jalan Kluang-Mersing, Kahang dekat sini ditenggelami air.

Abdul Aziz Jemain, 30, berkata, dia dan isterinya, Khairiyatul Asma’ Kamat, 30, dua anaknya berumur antara lapan bulan dan dua tahun sedang dalam perjalanan daripada bercuti ke Bukit Pasir, Muar ketika terkandas di dalam kereta pada kira-kira 3 petang semalam sebelum diselamatkan pada 2 pagi Ahad.

Iklan
Iklan

"Kami tidak sangka laluan tersebut ditenggelami air (banjir). Mujurlah saya sempat membeli roti di Pekan Kahang dan kebetulan mempunyai kira-kira 30 balang stok mi siput untuk dijual di dalam kereta yang menjadi pengalas perut kami empat beranak.

"Pada mulanya kami dapat melepasi laluan di Batu 18 tetapi kemudiannya gagal melepasi Batu 17. Saya cuba berpatah balik ke Batu 18, tetapi kawasan itu pula sudah dinaiki air yang menyebabkan kami terkandas,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Sembrong di sini pada Ahad.

Iklan

Abdul Aziz yang merupakan guru di SMK Bukit Pasir, Muar berkata selain mereka sekeluarga, kira-kira 15 kenderaan melibatkan antara 30 dan 40 orang turut sama-sama terkandas di laluan tersebut.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz yang menerima lawatan Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di pusat pemindahan itu berkata sepanjang 11 jam berkenaan, dia amat risau kerana keadaan air yang semakin meningkat selain cuaca gelap.

Iklan

"Saat paling mencabar pula adalah ketika proses perjalanan ke pusat pemindahan. Kami perlu menaiki sebuah bot bomba, kemudian berjalan kira-kira 500 meter dan seterusnya menaiki sebuah lagi bot bomba sebelum dapat menaiki trak ke pusat pemindahan ini.

"Mujurlah ketika terkandas dan dalam perjalanan itu, anak-anak tidak meragam,” katanya yang mempunyai bekalan susu dan lampai pakai buang mencukupi. - Bernama