PRESIDEN Filipina, Rodrigo Duterte yang berikrar untuk menghapuskan rasuah di negaranya, pernah membenarkan rakyatnya menembak pegawai kerajaan yang meminta habuan wang untuk perkhidmatan mereka tetapi jangan sampai terbunuh.
Beliau juga berjanji akan mempertahankan sesiapa yang menembak pegawai yang meminta rasuah dan tidak akan dipenjarakan.
Begitu tegas tindakan Duterte untuk membanteras jenayah rasuah yang terus mencengkam di negara itu meskipun pelbagai usaha pencegahan sedang dilaksanakan.
Seorang ahli akademik dari sebuah universiti di negara itu mengakui bahawa rasuah yang berleluasa di Filipina menghalang mobiliti sosial dan pertumbuhan ekonomi negara tersebut.
Rasuah setua sejarah manusia. Rasuah meresap semua peringkat masyarakat daripada kakitangan awam yang menerima rasuah kecil kepada pemimpin negara mencuri berjuta-juta RM.
Rakyat Malaysia sudah muak dengan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah bukan sahaja dalam kalangan pegawai kastam atau imigresen tetapi semua pegawai awam, sektor korporat dan ahli-ahli politik yang berlaku di negara ini.
Rasuah di negara kita pula semakin menjadi-jadi. Pihak berkuasa pun tak boleh harap, ramai yang makan suap. Kalau tidak, tak mungkin wujud kartel daging haram.
Begitu teruknya rasuah sampaikan nak poligami pun boleh bayar orang dalam untuk memudahkan urusan.
Kata seorang rakan, rasuah di Malaysia berjangkit macam pandemik Covid-19. Apa nak jadi sebenarnya?
Sama ada kita suka atau tidak, rasuah juga telah menjadi cara hidup segelintir masyarakat. Merak Jalanan yakin kerajaan Malaysia takkan putus asa untuk mengatasi jenayah rasuah ini.
Cuma Merak Jalanan nak tanya pada yang makan rasuah, sampai bila nak bagi anak bini makan duit haram?