KUALA LUMPUR - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menegaskan vaksin Covid-19 yang akan diguna pakai nanti tidak memberi kesan sampingan memudaratkan kepada kesihatan untuk jangka masa panjang.
Timbalan Menterinya, Ahmad Amzad Hashim berkata, vaksin itu telah diuji secara klinikal dan akan dikawal selia Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan.
"Semua vaksin mempunyai kesan sampingan, yang penting kesan sampingan itu tidak teruk dan berbahaya, namun setakat ini berdasarkan data yang kami terima tidak ada kesan serius terhadap vaksin ini.
"Sebahagian besar kesan sampingan adalah sementara sahaja misalnya rasa sakit apabila disuntik, sebahagiannya mungkin demam atau loya," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio pada Isnin.
Ahmad Amzad berkata, pihaknya akan memberi pendedahan dan menyalurkan maklumat yang tepat berkenaan vaksin bagi meyakinkan dan membuang keraguan masyarakat, sekali gus mencapai sasaran 70 peratus rakyat menerima vaksin Covid-19 pada suku pertama tahun ini.
Sehingga ini Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Pfizer dan BioNTech untuk memperoleh 12.8 juta dos vaksin. Negara juga bakal menerima 6.4 juta lagi dos vaksin daripada AstraZeneca selain daripada beberapa lagi pembekal. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Vaksin diuji terlebih dahulu sebelum masuk Malaysia
Sejuta vaksin Covid-19 mula diagih bulan depan