KUANTAN - Sebuah keluarga dari Kampung Tersan, Sega, Raub berdepan detik cemas selepas terperangkap apabila rumah mereka ditenggelami banjir.
Kejadian menimpa keluarga itu tular di laman sosial sejak Ahad selepas video kejadian berdurasi 23 saat itu dikongsi netizen.
Berdasarkan video tersebut, keluarga terbabit terpaksa berlindung di atas bumbung rumah ekoran keadaan air yang tinggi sementara menunggu bantuan.
Difahamkan, penduduk cuba membantu namun gagal berikutan keadaan air deras.
Bagaimanapun keluarga itu berjaya diselamatkan kira-kira jam 12 tengah malam pada Isnin.
Video berkenaan dikongsi Radiah Ismail, 33, dari Kampung Ulu Renggol, Raub bagi mendapatkan bantuan untuk menyelamatkan keluarga rakannya itu.
Radiah yang menggunakan nama Facebook Dhia Ismail berkata, rakannya meminta bantuan agar menguar-uarkan kejadian menimpa keluarga kakaknya itu agar mereka segera diselamatkan.
"Ketika kejadian ada lima orang di rumah itu termasuk pasangan suami isteri, dua anak dan ibu mereka.
"Berdasarkan video yang diberikan, saya kongsi dalam Facebook supaya ada pihak terutama pasukan penyelamat segera ke lokasi.
"Difahamkan pasukan penyelamat tiba, namun mereka menghadapi kesukaran pada awalnya untuk masuk ke kawasan tersebut akibat keadaan air yang terlalu deras," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Radiah berkata, dia bersyukur selepas dihubungi rakan memaklumkan keluarga kakaknya itu berjaya diselamatkan.
"Syukur sangat-sangat, keluarga itu berjaya diselamatkan kerana saya sendiri bimbang sekiranya kejadian buruk berlaku.
"Saya diberitahu mangsa terlibat berada dalam ketakutan dan bimbang rumah akan hanyut selepas terdengar bunyi seakan kayu patah," katanya.
Tambahnya, ketika itu dia hanya mampu berdoa agar keluarga rakannya itu selamat dan tiada kejadian tidak diingini berlaku.
"Saya turut berterima kasih kepada netizen yang turut sama berdoa akan keselamatan mangsa melalui ruangan komen selepas video tersebut dimuat naik ke Facebook," katanya.
Radiah berkata, dia dan keluarga kini berada dalam keadaan berjaga-jaga kerana turut terlibat dalam kejadian banjir yang melanda kampungnya.