KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah Kota Bharu pada Isnin menolak permohonan tuntutan hak hadanah bekas suami pertama kepada jutawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida untuk bertemu dengan dua anaknya.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty.
Dalam prosiding itu, mahkamah mengarahkan Edlynn Zamilleen, 16, atau Cik B dan Muhammad Eric Zaquan, 14, atau lebih dikenali sebagai Kacak menghubungi bapa mereka, Mohd Amin Yasin, 43, sekurang-kurang sebulan sekali.
Tindakan itu bertujuan mengelakkan ikatan silaturahim antara anak dengan bapa terputus.
Abu Bakar berkata, mahkamah turut memberikan hak kepada kedua-dua beradik itu untuk membuat keputusan bertemu bapa mereka sekiranya sudah bersedia berbuat demikian.
"Ibu (Vida) tidak mempunyai hak untuk menghalang kedua-dua anak sekiranya bersedia untuk bertemu ayah mereka,” katanya.
Vida atau turut dikenali sebagai DSV diwakili peguam Nurul Shuhada Ab Aziz manakala Mohd Amin diwakili peguam Mohd Zaki Zainal Abidin dan Nik Mohamad Amin Nik Abdullah dalam perbicaraan itu.
Mohd Amin sah bercerai dengan Vida pada tahun 2008 iaitu selepas lapan tahun mendirikan rumah tangga.
Selain Cik B dan Kacak, hasil perkongsian hidup Mohd Amin dan Vida mereka dikurniakan dua lagi cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie.
Bagaimanapun, Muhammad Eddie Zuhdie dan Muhammad Edrie Zikrie yang ketika itu masing-masing berusia 11 dan 10 tahun meninggal dunia dalam kejadian kebakaran di rumah Vida di Meru Hill pada tahun 2013.
Dalam pada itu, Vida ketika ditemui pemberita melahirkan rasa syukur dan lega di atas keputusan tersebut.
Katanya, beliau tidak pernah menghalang dua cahaya matanya itu untuk bertemu dengan bapa mereka.