GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya berhubung isu dua premis restoran yang mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, isu tersebut sudah menjadi kes polis dan ia terpulang kepada pihak berkuasa untuk tindakan seterusnya selepas mengambil kira keterangan yang diberikan pemilik premis.
Menurutnya, pihaknya berharap isu tersebut tidak dipanjangkan kerana polis sudah mengambil tindakan ke atas premis berkenaan.
"Pihak polis telah ambil tindakan selain pengusaha juga sudah beri keterangan (bahawa ia gimik publisiti premis tersebut). Oleh itu, saya rasa terserah kepada polis untuk menimbang penjelasan pengusaha kafe berkenaan.
"Sama ada polis akan ambil tindakan susulan atau hanya menasihati (pengusaha) kerana menganggap ia bukan satu kesalahan. Mungkin sekadar teguran terhadap publisiti yang mungkin menimbulkan isu dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita di Pusat KAWAN, Lebuh Klang, di sini pada Isnin.
Tambahnya, pihak berkuasa tempatan (PBT) hanya boleh mengawal berkenaan papan iklan di luar premis dan tidak mempunyai kuasa untuk memeriksa hiasan di dalam sesebuah premis di negeri ini.
Sebelum ini, restoran yang menjadikan karya lukisan semasa era revolusi kebudayaan China menjadi tular di dalam laman sosial WhatsApp dan Facebook sekali gus mendapat kecaman netizen.
Tidak lama kemudian tersebar video anggota polis yang mengambil tindakan dengan membuka poster dan hiasan dinding pada salah satu restoran berkenaan dipercayai di Juru.
Susulan itu, polis telah menyerbu dan merampas pelbagai gambar dan cawan yang mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis di dua premis restoran tersebut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner, Rahimi Ra'ais berkata, siasatan awal mendapati restoran di Juru dan di Pulau Tikus di sini adalah kepunyaan pemilik yang sama iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40 tahun.
Menurutnya, polis telah membuka kertas siasatan berhubung tindakan pemilik sebuah restoran di sini menghiasi gambar pemimpin era revolusi kebudayaan China serta wajah pemimpin Komunis, Mao Tze Tong pada dinding premisnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Karikatur komunis: MCA sifatkan tindakan polis terlalu keras
Polis buka kertas siasatan restoran pamer gambar pemimpin komunis