KUALA KRAI - Seorang bapa empat anak yang kemurungan dipercayai berkaitan masalah rumah tangga dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah dan didakwa mengunjungi kawasan sungai di Lata Golok Chenulang di sini sejak Jumaat lalu.
Lelaki berkenaan dikenali sebagai Mohd Faqif Mat Using, 28, keluar dari rumah keluarganya di Kampung Lata Golok Chenulang pada jam 11.40 malam, namun tidak pulang dan laporan polis mengenai kehilangannya telah dibuat pada Ahad.
Kakak tirinya, Zailawati Ibrahim, 47, berkata, pada malam tersebut adiknya itu yang tinggal bersama keluarga sejak Mei lalu keluar dengan menunggang motosikal tanpa meninggalkan pesanan kepada ibu mereka.
"Dia kerap tersenyum dan menangis seorang diri. Mandi, makan dan minumnya pula diuruskan oleh ibu.
"Pada malam Jumaat lepas, saya berniaga di kedai makan tidak jauh dari rumah. Ibu beritahu, Mohd Faqif hilang selepas keluar rumah tanpa disedari kerana ibu sedang tidur,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Menurut wanita itu, motosikal jenis Yamaha Ego yang digunakan mangsa dijumpai oleh pemandu lori balak ketika melalui kawasan hutan berhampiran sungai tersebut.
"Motosikalnya ditemui kira-kira satu kilometer dari sungai manakala pakaian dan selipar pula ditemui atas batu di seberang sungai. Ketika keluar rumah, dia memakai baju T berwarna hitam dan kain pelikat berwarna hijau," ujarnya.
Tambah Zailawati, adiknya sebelum ini sudah dua kali mendapatkan rawatan psikiatri di Hospital Kuala Krai dan didapati kemurungan akibat tekanan perasaan dipercayai berkaitan masalah rumah tangga yang dihadapinya.
"Sebelum kejadian ini, adik kata dia sudah sihat dan tidak makan ubat. Saya harap adik segera ditemui dalam keadaan selamat. Anak-anaknya masih kecil, baru berusia dari tiga bulan hingga enam tahun," kata wanita tersebut.
Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian Pegawai Bomba Kanan I (PBKI), Jafar Jafari Mustafa ketika dihubungi berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pada Ahad.
"Semalam (Ahad) anggota meninjau kawasan berdekatan sungai dan sekitar hutan namun cuaca amat gelap menyebabkan usaha disambung hari ini (Isnin).
"SAR diteruskan ketika ini dengan disertai 37 kekuatan terdiri daripada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia serta penduduk kampung,” katanya.
Lelaki berkenaan merupakan anak bongsu daripada sembilan beradik dan sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori.
Setakat ini operasi mencarinya masih diteruskan.