BEAUFORT - UMNO Bahagian Beaufort akan terus mengekalkan kerusi Parlimen Beaufort yang ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Pemangku Ketua Bahagian Beaufort, Ag Aslee Lakat berkata, pendirian UMNO Bahagian Beaufort akan terus dipertahankan kerana ia telah wujud sekian lama dan wajar kerusi itu dikekalkan.
"Ia sejajar dengan pendirian UMNO Sabah dan UMNO Pusat.
"Gandingan pemimpin lama dan muka-muka baharu golongan muda dalam kepimpinan bahagian sekarang akan dapat memperkukuh kepimpinan bahagian ini," katanya ketika merasmikan Perhimpunan Perwakilan UMNO Bahagian Beaufort di Dewan Datu Seri Panglima Dun Banir pada Ahad.
Pada PRU ke-14 lalu, kerusi Parlimen Beaufort ditandingi oleh calon Barisan Nasional (BN), Datuk Azizah Dun bagaimanapun ahli Parlimen itu kemudian menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata, terdapat sebanyak 219 cawangan UMNO yang aktif kini di Bahagian Beaufort.
"Ia juga boleh dipertingkatkan dari masa ke masa berdasarkan penerimaan dan keyakinan dalam kalangan rakyat," katanya.
Terdahulu, Ag Aslee yang juga Setiausaha Eksekutif UMNO Sabah menyeru pemimpin dan ahli UMNO bahagian supaya terus giat mempromosikan kebaikan yang dibawa parti kepada rakyat.
"Banyak kebaikan dan jasa parti selama ini dan kita harus terus memberi informasi supaya rakyat memahami serta ia dapat memberi manfaat kepada mereka," katanya.