MB Johor jamin kebajikan mangsa banjir terjaga

Iklan
Hasni beramah mesra dengan keluarga mangsa banjir semasa mengadakan tinjauan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Laksamana, Kota Tinggi pada Isnin.

KOTA TINGGI - Kerajaan negeri memberi jaminan akan menjaga kebajikan mangsa banjir di lapan daerah di negeri ini.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kerajaan akan cuba sedaya upaya memastikan semua pusat pemindahan sementara (PPS) dilengkapi dengan kemudahan asas yang lengkap.

Iklan
Iklan

"Saya berharap, mangsa-mangsa banjir banyak bersabar dalam menghadapi dugaan ini. Jangan bimbang, kerajaan akan menjaga kebajikan keluarga-keluarga yang ditempatkan di PPS.

"Pada masa yang sama, saya berharap agar orang ramai memberi kerjasama kepada jabatan yang berkaitan ketika berada di PPS," katanya kepada pemberita selepas melawat PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana, di sini pada Isnin.

Iklan
Hasni beramah mesra dengan keluarga mangsa banjir semasa mengadakan tinjauan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Jaya, Kota Tinggi pada Isnin.

Hasni turut melawat PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Kota Jaya, Sekolah Menengah Agama (SMA) Taman Kota Jaya dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Kota Jaya.

Hadir sama Pegawai Daerah Kota Tinggi, Farizal Ismail.

Iklan

Menteri Besar Johor kemudian bergerak ke PPS di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Layang, Simpang Renggam, Kluang bagi meninjau dan melawat mangsa banjir yang terjejas di kawasan berkenaan.

Setakat jam 4 petang pada Isnin, seramai 6,244 mangsa banjir daripada 1,636 keluarga yang terjejas ditempatkan di 58 PPS seluruh negeri.