KUALA LUMPUR - Di sebalik kepesatan ibu kota Kuala Lumpur, tersembunyi penempatan setinggan dihuni kira-kira 50 penduduk yang menyewa rumah daif itu dengan kadar RM150 sebulan.
Berdinding papan usang dengan atap berlubang serta berlantaikan tanah, penempatan terletak di atas tanah Lot 507 bersebelahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam itu boleh diibaratkan seperti bangsal tempat melepas lelah.
Kini, penduduk di kawasan itu kini bakal bergelar gelandangan kota selepas pemilik tanah tersebut menggunakan saluran perundangan, mengarahkan kawasan itu dikosongkan sehingga minggu depan.
Seorang penduduk, Normawati Ahmad, 28, berkata, notis pengosongan diterima pada 23 Disember lalu sebelum tindakan penguatkuasaan dilakukan pada Isnin.
Bagaimanapun menurutnya, atas budi bicara, penduduk diberikan lanjutan tempoh sehingga minggu depan untuk keluar dari kawasan berkenaan.
"Saya dah tinggal di sini selama 20 tahun, kami bukan dalam keluarga yang senang dan saya baru dibuang kerja.
"Saya ibu tunggal yang perlu menyara seorang anak, selain tinggal bersama ibu bapa yang mencari rezeki mengutip besi buruk. Lepas diusir, saya tak tahu mahu ke mana," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dia berharap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat membantu menempatkan mereka di Perumaham Awam (PA) atau PPR.
"Walaupun kami sekadar penyewa, biarlah ada sikap perikemanusiaan. Kami orang susah, kalau senang tak mungkin sanggup duduk menyewa di sini.
"Tuan rumah pula telah awal-awal kosongkan rumah. Kami dibiarkan terkapai-kapai, tiada arah nak tuju, diarahkan kosongkan rumah dalam masa singkat, mungkin lepas ini terpaksa tidur di bawah jambatan. Harap DBKL dapat bantu," katanya.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Zarina Che Din, 65, turut melahirkan kebimbangan akan nasib lima anaknya yang menyewa bilik di kawasan setinggan tersebut.
"Disebabkan tempoh berpindah yang singkat, mungkin kami anak beranak terpaksa berhimpit lebih 20 orang di rumah saya di PPR Seri Aman jika anak-anak tiada tempat tinggal.
"Saya harap DBKL dapat bantu. Sebelum ini anak-anak saya pernah memohon rumah DBKL namun tiada jawapan, disebabkan waktu terdesak ini, harap DBKL dapat berikan keutamaan kepada penduduk setinggan ini," katanya.