PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Isnin memohon penangguhan tarikh pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd yang dijadualkan pada 15 Februari.
Peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, surat permohonan penangguhan itu telah dihantar ke pejabat Presiden Mahkamah Rayuan pada Isnin.
"Kami memohon penangguhan kerana kami perlukan masa untuk memeriksa pelbagai dokumen, kerana kami telah kenal pasti beberapa pembetulan dalam timbunan (dokumen) yang mengandungi nota prosiding dan 800 eksibit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Darmafikri Abu Adam dan N Kanageswari.
Peguam itu berkata, mahkamah menetapkan 25 Januari bagi tarikh berikutnya pengurusan kes.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul serta peguam Farhan Read dan Nur Syahirah Hanapiah yang juga mewakili Najib hadir semasa pengurusan kes.
Pada 1 Oktober lepas, mahkamah menetapkan tempoh 12 hari; dari 15 hingga 18 Februari, 22 hingga 25 Februari dan 1 hingga 4 Mac untuk mendengar rayuan.
Ahli Parlimen Pekan telah mengemukakan 307 alasan dalam petisyen rayuannya mengapa dia harus dibebaskan daripada semua tuduhan.
Pada 30 Julai, Najib memfailkan notis rayuan terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali selepas mendapati beliau bersalah atas tujuh tuduhan pecah amanah (CBT), pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kedudukan yang melibatkan RM42 juta dana SRC.
Dua hari sebelum itu, Najib telah dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes CBT dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun dalam kes penyalahgunaan kedudukan.
Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak, dan dia kini bebas atas ikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin sementara menunggu rayuannya selesai. -Bernama