Pegawai, anggota polis terlibat rasuah akan dibuang: KPN

Iklan
ABDUL HAMID

KUALA LUMPUR - Pegawai dan anggota polis dikesan melindungi penjenayah atau menerima rasuah tidak lagi dikenakan tindakan tatatertib tetapi sebaliknya akan dibuang kerja, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan anggota yang melakukan perbuatan itu sehingga mangsa kes jenayah tidak mendapat pembelaan seadilnya.

Iklan
Iklan

"Saya akui perkara sedemikian memang wujud dalam pasukan polis apabila sesetengah pegawai dan anggota menerima habuan daripada pihak tertentu bagi menggelakkan mereka didakwa atas kesalahan yang dilakukan.

"Terdapat pegawai dan anggota polis yang mana perkhidmatan mereka tidak sampai 10 tahun sudah buat kerja-kerja kotor,” katanya kepada Bernama dalam wawancara khas di Bukit Aman, baru-baru ini.

Iklan

Abdul Hamid menegaskan bahawa beliau hendak membuang stigma negatif sedemikian dalam kalangan pegawai dan anggotanya agar mereka tidak dipandang serong oleh masyarakat.

"Saya sebagai IGP (Ketua Polis Negara) sendiri menunjukkan contoh tidak suka diberi layanan mewah. Semasa saya melawat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) saya diberikan layanan sedemikian.

Iklan

"Saya tidak minta sebarang habuan daripada pegawai bawahan saya apabila saya turun ke IPK atau IPD, niat saya adalah untuk kerja saya dipermudahkan dan berjumpa dengan mereka. Paling penting sekali adalah saya hendak mendengar taklimat daripada mereka bukan seperti sambutan di hotel makan secara besar-besaran dan seumpamanya yang membazir,” katanya.

Abdul Hamid berkata, tujuan beliau berjumpa dengan pegawai adalah untuk menyampaikan mesej dan dasar-dasar Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, beliau berharap pasukan polis akan menjalankan tugas dengan cepat dan mudah dan elemen yang penting sekali adalah perkhidmatan efektif diberikan kepada masyarakat.

Abdul Hamid berkata, usahanya untuk memerangi rasuah tidak ada penghujungnya kerana masih lagi wujud kes baharu.

"Bagaimanapun, saya tidak akan berputus asa dan akan terus-menerus perangi rasuah supaya generasi baharu menyertai PDRM tidak terpengaruh dan mendidik mentaliti mereka supaya jangan terima rasuah,” katanya.

Beliau juga menegaskan kepada pegawai dan anggota polis agar membuang budaya melepak di pusat-pusat hiburan selepas operasi serbuan kerana ia tidak manis dipandang masyarakat.

"Apabila pegawai dan anggota polis melepak di pusat hiburan habis semua cerita seperti teknik dan taktik (dedah operasi sulit polis) kepada umum.

"Saya hendak pegawai dan anggota saya ini berdisiplin kerana mereka ini merupakan simbol undang-undang dan saya minta kepada mereka agar kembalikan maruah diri sebagai anggota polis,” katanya.

-Bernama