Pemangku Raja Pahang santuni mangsa banjir di Raub

Iklan
Sebuah rumah penduduk hampir ditenggelami banjir selepas hujan lebat turun lebih tiga hari ketika tinjauan udara bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Raub pada Isnin. - Foto Bernama

KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Isnin berkenan mencemar duli menyantuni mangsa banjir di daerah Raub, kira-kira 200 kilometer dari sini.

Unit Media Pejabat Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang memaklumkan baginda meluangkan masa kira-kira lima jam bermula 11.30 pagi melawat 24 pusat pemindahan sekitar daerah berkenaan bagi melihat dan mendengar sendiri rintihan penduduk akibat bencana itu.

Iklan
Iklan

"Selain bertanya khabar, Tengku Hassanal turut mengurniakan sumbangan peribadi dan sumbangan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) serta meninjau sendiri kawasan yang dinaiki air dengan diberikan taklimat ringkas daripada pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.

Mengiringi baginda semasa lawatan berkenaan ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang Datuk Abd Aziz Mat Kiram.

Iklan

Antara pusat pemindahan dilawati Tengku Hassanal ialah Surau Al-Hidayah Kampung Melayu Sempalit, Dewan Kegiatan Gali Tengah, Dewan Serbaguna Gali Hilir, Balai Raya Kampung Sungai Pasu, Balai Raya Kampung Durian Sebatang, Dewan Dato' Seriwa Dong, Sekolah Kebangsaan Muhammad Jabar, Masjid Kuala Temau, Dewan Kampung Pia dan Balai Raya Kampung Jeruas.

Setakat jam 7.30 malam Isnin, seramai 14,814 mangsa banjir daripada 3,809 keluarga di Pahang ditempatkan di 208 pusat pemindahan.

Iklan

Menurut kenyataan itu, jumlah berkenaan dijangka terus meningkat berikutan trend kenaikan paras air di Sungai Pahang melibatkan sembilan daerah iaitu Kuantan, Temerloh, Bentong, Maran, Rompin, Pekan, Raub, Jerantut dan Lipis. - Bernama