SIBU - Upacara pembakaran mayat mangsa tragedi jeti feri Triso, Lorna Ting dan dua anak lelakinya akan berlangsung seperti dirancang di Taman Peringatan Nirvana, pada Selasa, menurut abang mendiang Lorna, Hing Ping.
Hing Ping berkata, ia setelah ahli keluarga berjaya mengumpul wang yang diperlukan untuk upacara itu, yang kebanyakannya hasil sumbangan orang ramai.
Beliau menzahirkan terima kasih atas keprihatihan penderma sambil berkata,"upacara pembakaran mayat akan berlangsung 7 pagi esok (Selasa),” katanya kepada Bernama.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi Triso: Enam beranak dikebumi dalam satu liang lahad
Tragedi Triso: Kerajaan gesa siasatan menyeluruh
Jasad tiga mangsa insiden Triso ditempatkan di Rumah Mayat Sibu
Katanya, mendiang adik dan kedua-dua anak saudaranya akhirnya dapat disemadikan bersama di perkuburan keluarga di taman peringatan berkenaan.
Lorna Ting, 33, serta dua anak lelakinya, Alvin, 12 dan Wallace, 7, meninggal dunia selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya bersama enam ahli keluarga lain terhumban ke dalam Sungai Batang Lupar di jeti Feri Triso, Sebuyau, Jumaat lepas.
Turut terkorban dalam tragedi itu ialah kakaknya, Siti Aishah Abdullah, 36, dan lima anaknya, Mohd Aiman Mohd Hamzah, 7, Muhd Mustaqin, 5, Khairunnisa, 14, Nor Shuhada, 16, dan Mohd Ahmad berumur empat bulan. Mereka dalam perjalanan ke Kuching untuk menghantar anak perempuan Siti Aishah ke sekolah madrasah.
Pagi Isnin, keluarga berkenaan kekurangan wang lebih RM20,000, untuk menampung kos upacara pembakaran yang berjumlah lebih RM60,000.
Permintaan Hing Ping untuk memohon sumbangan melalui media telah menyentuh hati masyarakat yang turut bersimpati dengan kematian mangsa dalam tragedi tersebut. - Bernama