SHAH ALAM - Kematian adalah satu kepastian dan kemestian tidak kira di mana seseorang itu berada atau dalam apa jua keadaan sekalipun.
Pendakwah yang juga bekas Pensyarah Kanan di Universiti Malaya, Ustaz Roslan Mohamed berkata, malah perkara itu turut dinyatakan di dalam al-Quran di mana dalam surah al-Nisa ayat 78 disebut bahawa kematian akan datang menjenguk dan merapati kamu walaupun dalam bangunan yang kukuh.
Justeru katanya, perkara itu perlu dicaknakan oleh semua umat Islam kerana bimbang jika persiapan tidak sempat dibuat sebelum mati.
"Tidak kira di mana kamu berada, di pentas ceramah, di dalam kenderaan, di katil hospital, sedang makan minum atau bersantai bersama keluarga, ingatlah kematian sentiasa bersama kita.
"Jadi terdapat dua persiapan yang harus dibuat tidak kira siapa pun kita, sama ada tokoh korporat, seorang qari atau sesiapa saja iaitu pertama perlu segera bertaubat kerana hidup kita dosanya bertimbun dan kadangkala tercipta secara tak sedar.
"Sama ia dosa besar atau kecil, segeralah bertaubat," katanya pada Wacana al-Quran Siri 56 bertajuk Kematian Yang Hampir: Bersediakah? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Isnin.
Ia turut menampilkan Pakar Perunding Kanan Kardiologi di Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr Azhari Rosman selaku panelis, sementara pengacara, Amin Idris sebagai moderator dan turut ditemani qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah al-Nisa ayat 78, surah al-Mukminum ayat 99-100 serta surah al-Hasy ayat 18-19.
Roslan berkata, persiapan kedua yang perlu dilakukan umat Islam adalah perlu rajin beribadah tidak kira ibadah kecil atau besar mesti ditunaikan.
"Maknanya bila ada kekuatan dua perkara itu iaitu segera bertaubat dan beribadat untuk bertemu ALLAH dalam keredaan serta rahmatNya dan bukan kebencian," katanya.
Tegasnya, kematian juga ibarat memiliki sebuah kenderaan kerana perlu menyelenggara serta menjajarkan (alignment) badannya dengan cukup serta membuat imbangan tayar (balancing) selalu bagi memastikan perjalanan ke sesuatu destinasi akan tiba dengan selamat.
"Begitu juga dengan manusia, perlu diselenggara atau diberikan ilmu yang mencukupi, diimbangkan dengan iman yang cukup serta dijajarkan hidup dengan cara yang betul.
"Tapi kalau kereta tak 'service', tayar tak tukar akan berlaku kemalangan dan meninggal. Jadi, sekiranya itulah pengalaman yang kita tengok dalam apa situasi sekalipun, sebagai manusia kita tak mahu kematian kita hanya diratapi tapi kosong jiwa kita dengan ilmu agama," katanya.
Dalam pada itu, Roslan berkata, sebagai umat Islam yang beriman janganlah kita hanya bertawakal tentang soal kematian tanpa berusaha membuat persiapan menghadapinya.
"Orang yang hidup dalam kerangka keimanan, mereka tahu neraka serta syurga menanti dan bagi orang yang mahu mati dalam rahmat ALLAH, pasti hendak berilmu kerana mahu masuk syurga.
"Orang yang mati hati, mati jiwa dan rasa, itu paling kita takut sebab dia serah bulat-bulat," katanya.