LIPIS - Mayat salah seorang mangsa bot terbalik di Sungai Jelai dekat Kampung Bertang, di sini berjaya ditemukan pagi Selasa.
Mayat Rozi Omar, 52, ditemukan pada jam 9.45 pagi di lokasi kira-kira 100 meter dari tempat dia dan suami serta dua anaknya terjatuh selepas bot dinaiki terbalik.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat mangsa tersangkut pada pokok pisang setelah keadaan air mulai surut.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Lipis untuk proses bedah siasat.
"Operasi mencari salah seorang mangsa, Nur Zakirah Ahmad Hussin,19, masih diteruskan," katanya.
Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari pada Isnin, bot dinaiki empat beranak itu terbalik akibat arus ketika dalam perjalanan pulang untuk melihat rumah dinaiki air.
Suami mangsa, Ahmad Hussin Mad Aris, 52, dan seorang lagi anak mereka, Nur Aina, 23, berjaya diselamatkan.
Menurutnya, kejadian berlaku di Sungai Jelai berhampiran jambatan gantung Kampung Bertang.