KUALA LUMPUR - Kementerian Luar mengesahkan penahanan 47 rakyat Malaysia di Poi Pet, Kemboja sejak 11 Disember, 2018.
Wisma Putra berkata, mereka disyaki terlibat kegiatan perjudian dalam talian secara haram.
Kementerian berkata, pemberitahuan mengenai penahanan mereka hanya dimaklumkan secara lisan oleh polis Bantey Meanchey pada 28 Disember tahun lepas.
"Berikutan pemberitahuan itu, para pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh membuat lawatan konsular untuk bertemu tahanan tersebut untuk memastikan kesejahteraan mereka setelah menerima maklumat terperinci dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Mak, saya kena tahan...'
"Dalam lawatan itu, para pegawai mendapati bahawa kebanyakan tahanan ditawarkan pekerjaan dengan gaji yang menarik," kata kementerian itu dalam satu kenyataan, hari ini.
Para pegawai dari Kedutaan mengadakan pertemuan dengan pegawai penjara dan hakim yang mengendalikan kes tersebut, kata kenyataan itu
"Mereka (Kedutaan Malaysia) telah membawa perkara ini kepada perhatian kementerian berkenaan dan International Cooperation of Cambodia melalui nota diplomatik untuk membebaskan tahanan tersebut.
"Kami melalui kedutaan memantau dengan teliti kes itu dan bersedia untuk memberikan bantuan konsular yang sewajarnya," kata kenyataan itu. - Bernama