TEMERLOH - Wartawan Sinar Harian Pahang antara mangsa banjir di daerah ini yang berlaku sejak Isnin.
Rosilawati Rosedi, 40, dari Kampung Batu Kapor, Mentakab akur dengan nasib yang menimpanya sekeluarga akibat bencana alam tersebut.
"Rumah saya ditenggelami air dan kini hanya nampak sedikit bumbung, saya sendiri tidak menjangka air naik begitu pantas.
"Semalam (Isnin) jalan masih lagi boleh dilalui kenderaan, tetapi hari ini (Selasa) situasinya sangat berbeza," katanya.
Menurutnya, semua barangan elektrik dan perabot dalam rumahnya yang diletakkan di atas para dan jalan sebelum ini sudah dihanyutkan.
"Tiada apa yang dapat diselamatkan, malah dua buah motosikal milik saya yang diletakkan di atas jalan depan rumah turut tenggelam," katanya.
Mengakui sedih dengan situasi tersebut, beliau tetap bersyukur kerana ahli keluarganya selamat.
"Saya sebenarnya semalam (Isnin) keluar sejak awal pagi pergi tugasan ke Raub dan Jerantut dan apabila sampai di rumah kawasan kampung sudah digenangi air banjir.
"Buat masa ini, saya dan anak perempuan yang berusia tujuh bulan menumpang di rumah abang di taman berhampiran, manakala ahli keluarga lain berada di pusat penempatan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Semantan," katanya.
Rosilawati tinggal di rumah keluarganya selepas bertugas di daerah tersebut sejak 2018 manakala suaminya bertugas sebagai petugas barisan hadapan di Kuantan.