SRI KEMBANGAN -"Saya singgah ke sini sebab hujan lebat tadi," itu alasan kolot seorang bapa kepada enam anak yang dicekup dalam serbuan Ops Noda di sebuah hotel bajet di Sri Kembangan, di sini, tadi.
Lelaki yang berusia lingkungan 50-an itu berkata, dia datang ke hotel menaiki kereta selepas pulang bekerja pada jam 6 petang.
Namun, selepas ditanya, lelaki terbabit mengakui kehadirannya untuk melanggan wanita yang dipilih menerusi aplikasi WeChat.
"Saya ada dalam bilik tadi dengan seorang wanita sebelum dicekup polis," katanya yang mendakwa baru pertama kali datang ke hotel terbabit.
Namun, ketika ditanya bagaimana perasaan isterinya apabila mengetahui kejadian ini, lelaki terbabit hanya tunduk malu dan terus mendiamkan diri.
Sementara itu, Pegawai Turus Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahbudin berkata, operasi pada jam 7.30 petang telah menahan seramai lapan wanita berusia lingkungan 23 hingga 33 tahun disyaki pelacur bersama tiga lelaki merupakan penjaga dan pekerja.
Katanya, turut ditahan tiga lelaki warga tempatan merupakan pelanggan.
"Polis telah merampas wang tunai RM3,315, 33 keping kondom, tiub pelincir, tuala dan tisu.
"Siasatan dapati sindiket ini disyaki menjadikan hotel untuk kegiatan pelacuran sejak tiga bulan lalu dengan mengiklankan melalui WeChat dan laman sesawang.
"Pelanggan yang berminat akan dikenakan bayaran RM180 hingga RM300 sebelum dibawa ke dalam bilik," katanya.
Tambahnya, pihaknya percaya wanita ini mampu mengaut pulangan RM1,000 sehari bergantung kepada bilangan pelanggannya.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengesan dalang terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen," katanya.