SHAH ALAM - Lebih 90 peratus kematian mengejut yang berlaku di negara ini adalah disebabkan penyakit jantung.
Pakar Perunding Kanan Kardiologi di Institut Jantung Negara, Datuk Seri Dr Azhari Rosman berkata, lebih merunsingkan apabila kematian mengejut akibat penyakit tersebut kini dikenal pasti banyak berlaku dalam kalangan orang muda.
"Sekarang mereka yang datang ke hospital akibat serangan jantung atau mati mengejut rata-ratanya berusia seawal 27 atau 28 tahun.
"Ia sangat berbeza berbanding sebelum ini, mereka yang mengalami serangan jantung atau mati mengejut disebabkan penyakit jantung kebanyakannya dalam kalangan yang berusia 60 tahun," katanya pada Wacana al-Quran Siri 56 bertajuk Kematian Yang Hampir: Bersediakah? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf, di sini pada Isnin.
Ia turut menampilkan pendakwah yang juga bekas Pensyarah Kanan di Universiti Malaya, Ustaz Roslan Mohamed selaku panelis, sementara pengacara, Amin Idris sebagai moderator dan turut ditemani qari jemputan, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali yang memperdengarkan bacaan surah al-Nisa ayat 78, surah al-Mukminum ayat 99-100 serta surah al-Hasy ayat 18-19.
Dr Azhari berkata, berdasarkan data itu juga menunjukkan ramai yang lupa bahawa kesihatan dari segi perubatan adalah satu amanah untuk diri sendiri supaya seseorang itu tidak membebankan orang lain dan ahli keluarga mereka.
Beliau berkata, kebanyakan orang tidak mengambil berat tentang pentingnya kesihatan dan hanya tahu keadaan mereka serius apabila disahkan mempunyai sakit jantung atau malangnya selepas kematian mengejut.
Katanya, kesihatan adalah satu amanah dan tanggungjawab yang perlu diambil berat sama ada seseorang itu menghidap sakit jantung atau apa-apa penyakit lain.
"Malah dalam agama juga sentiasa diingatkan bahawa setiap penyakit itu mempunyai ubat dan rawatannya.
"Ada pelbagai jenis cara atau ubat yang diberi doktor dan kita juga perlu faham ada rawatan yang wajar untuk setiap penyakit dan rawatan paling penting adalah pencegahan," katanya.
Beliau berkata, apa yang penting kena ada ilmu tentang pencegahan, mendapatkan rawatan tepat pada waktunya serta perlu mengikut cara dinasihatkan untuk rawatan-rawatan yang ada bagi setiap penyakit.
Dalam pada itu, Dr Azhari berkata, pemeriksaan kesihatan juga amat penting sebagai langkah pencegahan penyakit.
"Bagi yang tiada penyakit, untuk pemeriksaan pertama, apabila sampai umur 30 tahun boleh lakukan pemeriksaan darah, tekanan darah setahun atau dua tahun sekali kerana banyak penyakit biasanya dikesan pada usia tersebut.
"Bagi yang berusia 40an, setahun sekali untuk pemeriksaan perubatan dan kalau penyakit ketara mungkin enam bulan sekali bergantung kepada tahap sesuatu penyakit itu," katanya.
Selain itu katanya, pemeriksaan kesihatan ini boleh dibuat di mana-mana tempat tidak kira hospital, klinik atau farmasi asalkan ia memberi keselesaan kepada seseorang itu.
"Sesetengah orang mereka berasa takut, jadi mulakan dengan langkah kecil sama ada buat pemeriksaan tekanan darah dulu, cek kandungan gula dan sebagainya. Yang penting jangan menganggap kita sihat sebab dalam dunia macam-macam penyakit boleh mengancam kita, walaupun hidup mati adalah kuasa ALLAH tapi kita kena ambil tanggungjawab untuk kesihatan kita," katanya.