KOTA BHARU - Lima termasuk dua wanita lepasan institut pengajian tinggi (IPT) ditahan polis kerana dipercayai terbabit dengan kumpulan pengedaran dadah bersenjata api melibatkan nilai rampasan lebih RM500,000 di Rantau Panjang Kelantan.
Mereka yang berusia antara 22 hingga 32 tahun itu ditahan dalam tiga serbuan berasingan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan bermula Sabtu lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, serbuan menjumpai dadah jenis syabu, erimin 5, heroin, pil kuda dan kodien keseluruhannya bernilai RM135,410,00 serta sepucuk pistol jenis Revolver bersama tiga butir peluru hidup.
Menurutnya, polis turut menyita sembilan kereta termasuk dua berjenama mewah dan empat motosikal milik ahli geng tersebut dengan jumlah keseluruhan RM637,153,00.
"Pada serbuan pertama jam 11 malam Sabtu lalu, polis menahan seorang lelaki berusia 22 tahun di rumahnya di Taman Sri Rantau, Gual Nering, Rantau Panjang, hasil serbuan itu polis merampas dadah jenis syabu serta erimin 5 yang dianggarkan bernilai RM6,560.
"Pada serbuan kedua, jam 1 pagi Ahad lalu pula, dua lelaki berusia 24 dan 32 tahun ditahan di sebuah rumah di Taman Bej Nering, Kampung Gual Nering, Rantau Panjang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Shafien berkata, kedua-dua lelaki terbabit adalah peniaga dengan seorang daripadanya mempunyai rekod lampau di atas kesalahan culik mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Katanya, polis turut menemui sepucuk pistol dan tiga butir peluru hidup selepas melakukan pemeriksaan di dalam sebuah kereta di rumah tersebut bersama dadah yang dianggarkan bernilai RM114,150.
"Antara model kereta yang disita dalam serbuan ini adalah BMW, Volvo, Proton Exora, Honda Jazz, Perodua Myvi dan Nissan Navara manakala dua motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Street Fighter serta Kawasaki Z1000 dan RM1,153 turut dirampas.
"Serbuan ketiga jam 10.30 malam pula, polis menahan dua wanita masing-masing berusia 25 tahun di Taman Sri Mesa, Kampung Gual Mesa, Gual Periok, Rantau Panjang dan merampas 700 pil Erimin 5 serta 140 pil Estacy bernilai RM14,700 selain menyita tiga kereta termasuk sebuah kereta mewah Audi dan dua motosikal yang dipercayai milik dua wanita terbabit,” katanya.
Dalam pada itu, Shafien berkata, siasatan awal mendapati kumpulan terbabit menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak setahun lalu dan mengamalkan gaya kehidupan mewah yang melampau.
"Polis tidak menolak kemungkinan dadah yang dirampas itu diseludup dari negara jiran.
"Mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula 3 hingga 10 Januari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori,” katanya.